suria

Wanita Umno Bahagian Kepala Batas Kini Diterajui Rokiah Bee

KEPALA BATAS: Wanita Umno Bahagian Kepala Batas kini diterajui ketua baharu selepas penyandangnya gagal mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan semula pada Jumaat selepas kedua-dua mereka terikat dengan keputusan undi seri dalam pemilihan Sabtu lepas.

Rokiah Bee Hassan dipilih sebagai ketua yang baharu apabila memperoleh 198 undi berbanding penyandang Zabariah Abdul Wahab yang mendapat 167 undi.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap Ketua Wanita Umno Bahagian Kepala Batas Saadiah Aziz kira-kira pukul 6.30 petang selepas selesai proses pengiraan undi melibatkan 370 perwakilan. Jumlah undi rosak lima.

Turut hadir dalam pemilihan semula di Wisma Umno Kepala Batas itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pulau Pinang Datuk Daud Taha, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Kepala Batas Datuk Seri Yahaya Abdul Hamid.

Pada pemilihan sayap itu 12 Okt lepas, Zabariah yang juga Ketua Wanita Umno Pulau Pinang dan Rokiah Bee merupakan Ketua Cawangan Padang Benggali memperoleh jumlah undi yang sama iaitu 192.

Rokiah Bee, 67, yang ditemui selepas pengumuman itu berkata beliau tidak menyangka menang dan berterima kasih atas sokongan perwakilan. "Dengan mandat ini saya akan berusaha merealisasikan tranformasi di dalam parti terutama Wanita seperti yang dihasratkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya juga berjanji akan berusaha meremajakan Umno di samping merapatkan lagi hubungan antara anggota Wanita di bahagian ini," kata bekas guru itu yang mula melibatkan diri dalam Umno sejak 1960.

Beliau merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar dari 1990 hingga 1995 dan penglibatannya dalam parti merupakan kesinambungan daripada perjuangan bapanya.

Sementara itu, Zabariah, 68, berkata beliau menerima kekalahan itu sebagai adat pertandingan dan akan terus bersama Wanita Umno. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain