suria

Umno Kesan Buku Calon MT Dipalsukan

KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Umno mengesan terdapat cubaan mengedarkan buku senarai calon palsu, dipercayai bertujuan mengelirukan perwakilan bagi pemilihan anggota Majlis Tertinggi (MT) esok.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata buku calon palsu dengan muka depan tertera gambar kompas dan tulisan 'Kompas Pemilihan Umno 2013' itu diedar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan bahawa buku calon palsu itu diedar di beberapa bahagian di Perak seperti Tambun, yang maklumat di dalamnya dipalsukan dan nombor calon MT yang bertanding esok ditukar.

"Dalam buku calon palsu itu, calon nombor 11 sampai calon ke-63, nombor (calon) mereka tidak sama dengan buku calon sebenar yang diedar oleh urusetia (Jawatankuasa Pemilihan Umno) dan ibu pejabat," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Ab Rauf mengingatkan semua perwakilan meneliti buku calon yang diterima bagi memastikan hanya buku calon yang tulen, tertera logo Umno dan bertulis 'Ahli Majlis Tertinggi' di muka depan, digunakan.

"Jika mereka dapat buku palsu itu, sila abaikan kerana ia tidak dikeluarkan oleh ibu pejabat Umno dan kita tidak mahu perwakilan keliru dan tertipu," katanya.

Ab Rauf berkata satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengesan individu bertangungjawab.

Mengulas peletakan jawatan 14 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan, Ab Rauf berkata sehingga kini ibu pejabat belum menerima sebarang laporan rasmi.

Katanya satu jawatankuasa khas akan diwujudkan selepas menerima laporan untuk menyelidik dan menyiasat kes itu.

"Jawatankuasa khas ini akan menerima dan mengambil kira semua bantahan yang dihantar ke ibu pejabat dan setelah siasatan dilakukan, barulah akan ada tindakan susulan sekiranya ada perkara-perkara yang dilihat ada asas untuk diambil tindakan," katanya.

Rabu lepas, kesemua 14 daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno bahagian Kalabakan dilapor meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan sayap pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali mengesahkan bahawa keputusan bagi jawatan anggota MT dan Bahagian akan diumumkan di bahagian masing-masing selepas mendapat pengesahan rasmi. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain