suria

Tindakan Tegas Terhadap Anggota Langgar Tataetika Umno Dalam Pemilihan Parti

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Umno pada Jumaat memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota parti yang melanggar tataetika Umno dalam pemilihan parti tahun ini.

Pengerusinya, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata pihaknya telah menerima aduan berkaitan pelanggaran tataetika itu dan siasatan akan dibuat dengan teliti berdasarkan merit kes.

"Aduan yang diterima merangkumi pelanggaran yang dibuat oleh calon yang bertanding bagi jawatan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan bahagian serta dalam pemilihan sayap-sayap parti di peringkat bahagian dan pusat pada 12 Oktober lalu," katanya dalam kenyataan di sini.

Pemilihan peringkat bahagian dan MT akan berlangsung esok.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata siasatan akan diteruskan sekiranya Lembaga Disiplin menerima aduan dalam masa enam bulan selepas tamat proses pemilihan Umno di peringkat bahagian.

Selain itu, beliau juga memaklumkan 51 anggota Umno telah dipanggil di hadapan panel Tribunal Lembaga Disiplin berhubung kes sabotaj parti pada pilihan raya umum ke-13.

Daripada jumlah itu, 28 didapati bersalah dan digantung hak mereka di dalam parti selaras Fasal 20.9 Perlembagaan Umno. "Lima anggota telah disyorkan kepada MT untuk dipecat kerana kesalahan yang dilakukan adalah sangat serius dan boleh menjejaskan nama baik dan reputasi parti," kata Tengku Ahmad Rithauddeen.

Menurutnya, 12 yang lain didapati bersalah dan diberi amaran, manakala enam lagi didapati tidak bersalah dan dibebaskan.

Beliau menegaskan tindakan yang diambil Lembaga Disiplin adalah berdasarkan laporan yang dibuat anggota Umno dan badan itu menjalankan tugas tanpa gentar atau pilih kasih. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain