suria

Sistem Pemilihan Baru Mampu Basmi Gejala Politik Wang - Perwakilan

KUALA LUMPUR: Anggota-anggota perwakilan menyambut baik sistem pemilihan baharu Umno yang pertama kali dilaksanakan berikutan mampu membasmi gejala politik wang di peringkat bahagian dan tertinggi.

Mereka turut menyifatkan sistem pemilihan parti itu sebagai lebih telus dan menyatupadukan anggota di peringkat akar umbi dengan pemimpin tertinggi Umno.

Ketua Pemuda Cawangan Keramat Tengah, Bahagian Titiwangsa, Noore'sham Abu Bakar, 38, berkata pengenalan sistem ini dapat menangkis tuduhan banyak pihak tentang amalan politik wang. "Ia jelas dapat dilihat melalui mesyuarat yang dijalankan serentak dan tempoh masa yang terhad untuk para calon melobi memainkan peranan penting untuk mengelak perkara ini (politik wang) berlaku," katanya kepada Bernama sebelum menghadiri mesyuarat perwakilan dan pemilihan Umno Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Bahagian Setiawangsa turut mengadakan mesyuaratnya di PWTC.

Mesyuarat perwakilan Umno bahagian dan pemilihan kepimpinan peringkat bahagian serta Majlis Tertinggi parti bermula serentak di 191 bahagian 8 pagi ini.

Mesyuarat itu akan ditangguh kemudian bagi memberi laluan kepada proses pemilihan itu.

Pemilihan hari ini menyaksikan pemilihan kepimpinan tertinggi Umno di peringkat Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi manakala tiada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Noore'sham turut memuji keberanian pemimpin tertinggi Umno yang melakukan transformasi parti secara menyeluruh selepas 67 tahun bertapak di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi Cawangan Umno Kampung Limau, Bahagian Titiwangsa, Azlan Katan, 46, menafikan wujud percaturan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dalam pemilihan pucuk pimpinan baik di peringkat bahagian ataupun pusat.

"Memanglah ada calon yang cuba melobi tapi hakikatnya, perwakilanlah yang membuat keputusan sendiri sewaktu mengundi tanpa dipengaruhi mana-mana pihak," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya beliau mengakui faktor populariti calon memainkan peranan penting bagi perwakilan membuat keputusan.

Azlan berkata situasi hari ini dijangka lebih sengit dan trend pemilihan sayap Umno pada minggu lepas tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur kerana ia melibatkan jawatan tertinggi dalam parti dan bahagian.

Veteran Umno, Kamarudin Awang, 60, yang turut menyambut baik sistem pemilihan baharu itu berkata sistem itu dapat mengelak penipuan dalam proses pemilihan kerana perwakilan peringkat cawangan dapat mengetahui dan memantau keputusan yang dibuat di peringkat Bahagian.

"Kita boleh nilai dan buat kerja sama-sama, sekali gus dapat memantapkan perjuangan anggota Umno dari peringkat akar umbi," terangnya.

Ketua Wanita Umno Bahagian Setiawangsa Hairunnisha Ismail, 65, pula berkata sistem yang dilaksanakan adalah yang terbaik kerana ia dapat mengelak sebarang masalah berbangkit sepanjang proses pemilihan itu berlangsung berikutan wujud jawatankuasa pemantau yang dilantik oleh pusat.

"Jika ada pun sebarang kelemahan, ia adalah perkara biasa kerana ini baharu pertama kali sistem ini diguna pakai dalam Umno dan ia boleh ditambah baik pada masa hadapan," katanya.

Ketua Puteri Umno Cawangan Menara Seri Jati, Bahagian Setiawangsa, Razmalina Razali, 35, berkata, sistem pemilihan baharu itu memberi penghargaan kepada akar umbi untuk memilih barisan pimpinan parti dan mempunyai peranan besar untuk menentukan masa depan parti.

"Ia menyemai sifat kekeluargaan dalam kalangan anggota Umno yang dapat melihat sendiri kualiti calon yang bertanding untuk menerajui parti," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain