suria

Politik Wang: Perlu Ada Bukti Kukuh - Megat Najmuddin

KUALA LUMPUR: "Cakap semua orang boleh cakap, bukti itu yang penting," kata Pengerusi Tribunal Disiplin Umno Malaysia Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas mengenai dakwaan kononnya terdapat politik wang dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yang sedang berlangsung.

Beliau berkata jika dilihat dari segi undang-undang, sukar untuk disabitkan seseorang dengan dakwaan rasuah kecuali ada bukti kukuh dan saksi-saksi mempunyai kredibiliti.

"Kalau saksi itu sendiri tidak berwibawa, nanti dia mudah dipesongkan oleh peguam di bilik mahkamah sehingga kes tidak sangkut akhirnya," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau tidak menafikan ada beberapa kes salah laku yang sedang disiasat oleh tribunal dan kes biasanya mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk diselesaikan.

"Jika wujud perlakuan jenayah dan rasuah, kita akan laporkan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "Kaedah siasatan tribunal ini lebih rendah dari cara siasatan pihak berkuasa. Kita bukan mahkamah tetapi sebuah parti politik, sebagai parti politik, kita faham tujuan tuduhan-tuduhan ini dibuat dan kebanyakan bersifat untuk menjatuhkan orang," katanya.

Ditanya sama ada benar berlaku politik wang yang serius, Megat Najmuddin berkata perkara itu tidak benar dan sengaja diperbesar-besarkan oleh blog-blog dan laman sosial bersifat politik.

Megat Najmuddin yang juga Anggota Lembaga Penasihat SPRM, berkata tribunal menerima bermacam-macam laporan sejak pilihan raya umum Mac lepas sehinggalah ke pemilihan jawatan Umno sekarang, membabitkan tuduhan politik wang, salah guna kuasa dan perangai tidak sopan.

"Banyak kepada fitnah sahaja, laporan berkaitan dengan segala salah laku ini sangat kurang sebenarnya. Kalau kita fikir guna akal kita konon berlaku politik wang, tidak mungkin mereka yang bertanding ini boleh memberi rasuah kepada 150,000 anggota Umno yang terlibat," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain