suria

Pemilihan Umno: Medan Ujian Kuasa Kepimpinan Tertinggi

Seorang kakitangan parti membuat persiapan akhir untuk pemilihan Majlis Tertinggi dan Umno Bahagian di Dewan Merdeka, PWTC.
Seorang kakitangan parti membuat persiapan akhir untuk pemilihan Majlis Tertinggi dan Umno Bahagian di Dewan Merdeka, PWTC.
Seorang kakitangan parti membuat persiapan akhir untuk pemilihan Majlis Tertinggi dan Umno Bahagian di Dewan Merdeka, PWTC.

PETALING JAYA: Pemilihan Umno yang ditunggu-tunggu pada Sabtu akan menjadi medan ujian sama ada pemimpin di peringkat bahagian dan pemimpin tertinggi parti masih boleh mempengaruhi saingan merebut jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi.

Wujud keraguan mengenai kuasa mereka kerana pada Sabtu seramai 146,500 perwakilan parti akan mengundi pada pemilihan ini di mana keputusannya akan membentuk kepimpinan tertinggi parti yang baharu.

Pemilihan sayap Pemuda Umno dan Wanita Umno pada minggu lalu menyaksikan penyandang jawatan ketuanya menang seperti dijangka tetapi pemilihan pada Sabtu bakal mencetuskan kejutan dan kekecewaan.

Dua pertiga atau 127 jawatan ketua di 191 Umno Bahagian sedia untuk direbut.

Untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi, 50 muka baharu akan bertanding dengan 14 penyandang sedia ada untuk merebut 25 kerusi bagi jawatan itu.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, pemimpin bahagian tidak lagi mempunyai kuasa untuk mempengaruhi perwakilan.

"Ia adalah mustahil pada masa lalu kerana mereka mempunyai bilangan perwakilan yang lebih kecil untuk dipengaruhi. Kini, segalanya berbezanya sama sekali," katanya.

Ketua Umno Bahagian Kepong, Datuk Ridzuan Abdul Hamid berkata, cuba untuk mempengaruhi perwakilan amat sukar terutamanya apabila penyandang ketua bahagian itu sendiri turut dicabar.

Menurut pegawai parti, kebanyakan perwakilan tegas dalam menyuarakan pendapat mereka mengenai siapa yang patut memimpin bahagian dan menjadi ahli Majlis Tertinggi.

Naib Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perwakilan pada pemilihan Sabtu lalu memilih lebih daripada 30% muka baharu untuk ketiga-tiga sayap di peringkat bahagian.

"Mereka mengekalkan penyandang untuk beberapa jawatan tetapi di peringkat bahagian, mereka mengundi untuk perubahan.

"Jika trend pada Sabtu lalu merupakan salah satu petunjuk, mungkin berlaku banyak perubahan dalam barisan kepimpinan di peringkat bahagian," katanya.

Ketua Pengerangan Umno Bahagian Johor Baru, Abu Talib Alias berkata, ketika golongan Menteri dan Menteri Besar dijangka mendapat undi daripada perwakilan, jawatan Majlis Tertinggi yang lain harus terdiri daripada pemimpin baharu yang berkebolehan.

Saingan bagi jawatan Naib Presiden parti mendapat perhatian ramai kerana keputusan itu nanti akan menentukan kepimpinan Umno pada masa depan.

Tiga penyandang Naib Presiden - Dr Ahmad Zahid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal – akan dicabar beberapa nama besar seperti Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Mohd Isa Samad.

Perubahan besar dalam barisan kepimpinan Majlis Tertinggi dan jawatan Naib Presiden akan memberikan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa sebab untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet.

Buat masa ini, selain Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 10 daripada 32 ahli Kabinet terdiri daripada ahli Majlis Tertinggi dan tiga Naib Presiden yang dipilih.

Mereka yang dipilih untuk mengisi jawatan ahli Majlis Tertinggi dan ketua bahagian mungkin dilantik sebagai calon untuk menerajui Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Salah satu bahagian yang menjadi tumpuan adalah Gua Musang di mana pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah dicabar calon lain selepas menerajui bahagian itu selama lebih 30 tahun.

Di bahagian Johor Baru, seorang lagi veteran parti, Tan Sri Shahrir Samad akan dicabar dua calon.

Beberapa menteri dan menteri besar turut dicabar sebagai ketua bahagian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicabar oleh bekas setiausaha politik, Datuk Azizan Che Omar di Bera manakala Timbalan Menterinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman akan dicabar ahli exco Perak, Datuk Zainol Padzi Paharuddin di Pasir Salak.

Shafie, yang juga Ketua Bahagian Semporna, akan menerima tentangan daripada dua calon - bekas Ketua Pemuda, Nixon Abdul Habi dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan, Datuk Harman Mohammad.

Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan dicabar oleh bekas Adun Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin manakala Menteri Besa Terengganu dan Ketua Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said akan ditentang bekas Ketua Bahagian itu, Mat Dalam Awang.

Pemilihan akan diadakan di 191 Bahagian pada pukul 9 pagi dan dijangka berakhir pada sebelah petang.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata keputusan untuk jawatan Naib Presiden akan diketahui pada tengah malam.

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain