suria

Masalah Terus Berlaku Di Kalabakan Dalam Pemilihan Umno Bahagian

KOTA KINABALU: Masalah pada proses pemilihan Umno Kalabakan terus berlaku apabila Ketua Bahagian, Datuk Ghapur Salleh mempersoalkan ketidakhadiran hampir 100 ahli dalam senarai perwakilan.

Beliau berkata, sepatutnya tiada nama yang tercicir daripada senarai perwakilan yang dikeluarkan oleh ibu pejabat Umno apabila semua cawangan telah mengadakan mesyuarat mereka mengikut kawasan.

"Ibu pejabat perlu menjelaskan kenapa begitu banyak nama yang hilang daripada senarai perwakilan. Adakah mereka diisytiharkan bankrap atau ada sebab-sebab lain yang tidak melayakkan mereka daripada menjadi perwakilan?" katanya selepas mesyuarat Umno Kalabakan di sini.

Beliau berkata, proses pemilihan Umno memerlukan penambahbaikan, dengan merujuk bawaha kertas undi untuk semua jawatan adalah sama maka ia boleh menyebabkan kekeliruan, terutama bagi perwakilan yang buta huruf dan mempunyai masalah penglihatan.

Pada minggu lepas, 14 daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno Kalabakan meletakkan jawatan mereka sebagai protes berhubung pemilihan yang diadakan pada 12 Oktober itu.

Pemilihan itu menunjukkan penyandang Ketua Wanita Umno Kalabakan, Datuk Hamisa Samad tewas kepada Cahaya Sulaiman manakala jawatan naib ketua wanita pula dimenangi oleh Noraini Abdul Ghapur.

Kumpulan penyokong Hamisa pula bagaimanapun melaporkan aduan berhubung keputusan pemilihan dengan dakwaan terdapat lebihan 47 undi.

Mereka mendakwa Hamisa memperoleh 384 undi berbanding 417 undi oleh Cahaya manakala 10 lagi merupakan undi rosak.

Kumpulan penyokong Hamisa turut mendakwa seramai 825 perwakilan Wanita berkelayakan untuk mengundi tetapi hanya 764 yang menghadiri mesyuaray pada 12 Oktober lalu.

Selain anggota exco Wanita Umno Kelabakan yang mengetuai protes itu, Suriyani Lamai, exco Wanita lain yang turut meletakkan jawatan adalah Hindun Abu Bakar Titingan, Masnah Lama, Astika Tahir, Nurida Abu Bakar, Zainab @ Jainab Ali, Shaniah Sampar, Norizan Omar, Juo Amin, Fatimah Abdullah, Sofiah Daud, Asiah Indobeche dan Muliati Engkeng.

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain