suria

Khir Toyo Nafi Ditahan SPRM

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan laporan beliau ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menyogok anggota perwakilan Umno di Sungai Besar pagi Sabtu.

"Saya berada di Shah Alam hari ini...saya bawa anak ke klinik. Saya tidak balik pun ke Sungai Besar hari ini," katanya di sini.

Dr Mohamad Khir yang juga bekas Ketua Bahagian Umno Sungai Besar itu berkata beliau dimaklumkan mengenai laporan itu oleh ibunya, yang menyangka beliau ditahan SPRM.

Beliau turut mendapat panggilan daripada rakan-rakannya yang bertanyakan mengenai laporan itu.

Menurutnya beliau tidak menghadiri mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar kerana tidak lagi bertanding mana-mana jawatan dalam bahagian.

Selain itu, beliau mahu mengelak kekecohan jika hadir kerana difahamkan ada pihak yang tidak menyenangi kehadirannya di sana.

Pertandingan Ketua Bahagian Sungai Besar kali ini menyaksikan pertembungan pengusaha Restoran Sekinchan Ikan Bakar dan Ketua Umno Cawangan Tali Air 7, Sungai Leman Datuk Jamal Md Yunos dan Naib Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Mardi Sukir. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain