suria

Kes Kanak-Kanak Terkena Tembakan: Beri Polis Ruang Siasat

IPOH: Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani meminta masyarakat memberi ruang kepada polis menyiasat insiden kanak-kanak terkena tembakan dalam kejadian di Parit, Isnin lepas.

Beliau juga memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara menyeluruh, profesional dan telus.

"Sebaik siasatan selesai dibuat, kita akan kemukakan kertas siasatan tersebut kepada pejabat timbalan pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya dan siapa yang didapati bersalah perlu dipertanggungjawabkan," katanya.

Beliau dihubungi Bernama di sini bagi mengulas laporan sebuah portal akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa siasatan polis mendapati insiden itu mungkin bukan tidak disengajakan.

Dalam kejadian itu, Mohd Amar Mohd Azizi, 10, cedera terkena tembakan ketika seorang anggota polis yang sedang mengosongkan pistol automatik jenis P99 Walthernya terlepas tembakan, di hadapan sebuah rumah di Kampung Belanja Kiri, Parit.

Pakar Perunding Neurosurgeri Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr Cheang Chee Keong dilapor berkata mangsa sangat bernasib baik kerana peluru itu tidak mengenai saraf tunjang atau peti suara yang boleh mengakibatkan lumpuh dan bisu.

Beliau berkata imbasan X-ray menunjukkan peluru yang menembusi hidung dan tersekat di kerongkong itu tersangkut pada jarak kurang satu sentimeter dari saraf tunjang dan agak jauh dari peti suara. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain