suria

Isa Samad Pertahan Jawatan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang

PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Telok Kemang selepas menewaskan dua pencabarnya pada pemilihan Umno bahagian itu yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Mohd Isa, yang menyandang jawatan itu sejak 1982, memperoleh undi sebanyak 324 manakala dua pencabarnya, iaitu Ramli Awang dan Mazman Mansor, masing-masing meraih 59 dan sembilan undi.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman keputusan berkenaan oleh bekas Pengerusi Tetap Bahagian Nornikman Zubir, Mohd Isa berkata kemenangan itu adalah satu bentuk kepercayaan yang diberi oleh perwakilan kepada beliau untuk terus menerajui Umno Bahagian Telok Kemang.

"Ini adalah kali pertama saya dicabar (bagi) jawatan ini sejak 1989, dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang mengundi hari ini kerana terus memberikan kepercayaan kepada saya," katanya.

Beliau berkata fokus utama selepas ini ialah mempertingkat usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama di kawasan berkenaan dan memenangi semula kerusi Parlimen Telok Kemang pada pilihan raya akan datang.

Katanya, kerjasama antara semua kepimpinan Umno peringkat bahagian, termasuk dengan parti komponen, akan terus diperkemas bagi merealisasi matlamat itu.

Seramai 394 perwakilan mengundi pada pemilihan itu, yang turut menyaksikan Anggota Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang Tun Khairuddin Abu Bakar menang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang.

Mohd Isa, yang juga bekas Naib Presiden Umno, kini menanti keputusan bagi jawatan Naib Presiden Umno yang ditandinginya bersama lima lagi calon. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain