suria

Umno Gelang Patah Ambil Pendirian Untuk Umum Keputusan Peringkat Tertinggi

JOHOR BAHARU: Umno Bahagian Gelang Patah mengambil pendirian untuk mengumumkan keputusan jawatan Majlis Tertinggi yang dipilih oleh bahagian itu walaupun ditetapkan hanya ibu pejabat Umno boleh mengumumkan keputusan tersebut.

Pengerusi Tetap Umno Bahagian Gelang Patah Datuk Baharum Abd Ghani berkata, segala keputusan pemilihan Majlis Tertinggi yang dibuat oleh bahagian merupakan satu daripada agenda dalam mesyuarat bahagian, sehubungan itu segala keputusan mesti diumumkan dalam mesyuarat berkenaan.

"Segala keputusan yang dibuat dalam mesyuarat perlu direkodkan dalam mesyuarat Umno Bahagian, jika tidak mesyuarat di peringkat bahagian itu tidak sah. "Umno pusat sendiri perlu jelas tentang perkara ini dan perlu mengikut peraturan mesyuarat," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Katanya hal itu juga perlu untuk mengelakkan salah faham dan sebarang kekeliruan di kalangan perwakilan sendiri.

Menurutnya, beliau tidak gentar jika dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno ekoran mengingkari arahan ibu pejabat itu kerana yakin ia tidak menyalahi mana-mana peraturan parti.

Umno Bahagian Gelang Patah mempunyai 78 cawangan dan sejumlah 450 perwakilan akan melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin bukan sahaja di peringkat bahagian tetapi juga di peringkat Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan esok.

Sebelum ini, Umno Bahagian Gelang Patah turut mencetus kontroversi semasa Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pemuda Sabtu lepas sehinggakan ia terpaksa ditunda ekoran ada kalangan perwakilan yang tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain