suria

Tan Lian Hoe Kekalkan Jawatan Ketua Wanita Gerakan

KUALA LUMPUR: Datuk Tan Lian Hoe mengekalkan jawatan sebagai Ketua Wanita Gerakan bagi penggal ketiga apabila menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon sayap berkenaan ditutup pada Jumaat.

Turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Ng Siew Lai yang mengekalkan jawatan itu bagi penggal kedua.

Tiga Naib Ketua Wanita Gerakan yang juga menang tanpa bertanding ialah Azmar Md Alias, Yong Fuie Moy dan Tai Mun.

Azmar dan Yong ialah penyandang jawatan Naib Ketua manakala Tai Mun merupakan muka baharu.

Seramai 26 calon bertanding bagi merebut 18 jawatan anggota jawatankuasa wanita Gerakan dalam proses penamaan calon bagi sayap Wanita parti berkenaan di Menara PGRM di sini, Jumaat.

Tan ketika ditemui pemberita terharu kerana terlalu gembira melihat kesemua jawatan tertinggi dalam sayap wanita parti berkenaan tidak menyaksikan pertandingan.

"Saya sangat gembira melihat perpaduan anggota Wanita Gerakan yang berpegang kepada semangat satu hati. Saya berazam untuk bukan sahaja memperkasakan sayap Wanita Gerakan tetapi parti Gerakan secara keseluruhan.

"Antara perkara yang akan menjadi agenda utama saya ialah memastikan golongan wanita di negara ini mempunyai peluang perniagaan, meningkatkan bilangan usahawan wanita dan menjadikan lebih ramai wanita berdikari dalam ekonomi," katanya.

Sementara itu, Ng pula berkata beliau akan memberikan tumpuan untuk mengatasi pelbagai isu berkaitan pusat jagaan kanak-kanak.

"Masalah mencari pusat jagaan kanak-kanak sering menjadi penghalang kepada golongan wanita untuk terus bekerja dan menyumbang kepada negara. Saya komited untuk membantu golongan wanita yang berhadapan masalah ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain