suria

Polis Tahan Suspek Kes Samun & Rogol Pembantu Rumah

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang suspek lelaki berumur 25 tahun berhubung kes samun dan rogol seorang pembantu rumah warga asing di Dungun Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata suspek ditahan kira-kira 10 pagi di rumahnya di Dungun selepas pembantu rumah itu membuat laporan polis mendakwa dia dirogol dan disamun pada kira-kira 5 pagi hari yang sama.

Ketika kejadian pembantu rumah itu bersendirian di rumah majikannya, katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya suspek yang merupakan adik ipar majikan pembantu rumah itu didakwa mengacukan golok di leher pembantu rumah itu dan turut merampas barangan kemasnya dan dua telefon bimbit.

Katanya ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan siasatan mendapati suspek terlibat tiga kes jenayah dan dalam senarai dikehendaki polis.

Sementara itu, Manoharan berkata seorang tukang rumah cedera setelah dilanggar kereta dipandu seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman di Kampung Cheneh Baru, Kemaman, pada Isnin lalu.

Katanya kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika tukang rumah berumur 59 tahun itu berdiri berhampiran motosikalnya di depan sebuah kedai runcit.

"Setelah melanggar mangsa, suspek mengundurkan keretanya dan melanggar mangsa sekali lagi sehingga jatuh lalu suspek terus melarikan diri. "Akibat pelanggaran itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan, kepala dan patah tiga jari kaki kiri dan sedang menerima rawatan di Hospital Kemaman," katanya.

Katanya suspek berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.45 pagi ini di rumahnya di Felda Neram 2, Kemaman dan maklumat awal menunjukkan suspek dipercayai kurang siuman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain