suria

Pilih Berdasarkan Fakta Bukan Persepsi - Hishammuddin

KLUANG: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempertahankan jawatan naib presiden Umno meminta kira-kira 146,000 perwakilan membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukan persepsi dalam pemilihan parti esok.

"Saya berharap mereka akan membuat keputusan bukan berdasarkan kepada persepsi tetapi selidik dahulu perkara-perkara, sama ada ia sahih dan nilaikan calon-calon termasuk saya, calon 02," katanya.

Sambil menyatakan beliau pasrah dan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan kedudukannya esok, katanya apa yang perlu menjadi keutamaan adalah Umno perlu didahulukan.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban Umno Bahagian Semberong di Kampung Sri Lukut, Kahang di sini.

Bagi jawatan naib presiden, Hishammuddin akan bersaing dengan lima lagi calon termasuk dua penyandang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tiga lagi pencabar ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad.

Hishammuddin juga berkata apa yang penting adalah imej Umno sebagai parti sentiasa terpelihara di mata masyarakat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain