suria

Pengurus Gudang Didakwa Jual Tayar Bernilai RM382,282

SHAH ALAM: Seorang pengurus gudang sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat atas tuduhan melakukan pecah amanah dengan menjual tayar lama dan baharu bernilai RM382,282 tanpa pengetahuan majikannya.

S.Mugilan, 39, dari Taman Sentosa, Klang, dekat sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim G.Ramesh.

Tertuduh daripada Syarikat Megalift Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikat di Jalan Hishamuddin 1, Kawasan 20 Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang dekat sini, antara Februari lepas dan 31 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Raimi Mohd Ramli berkata pertuduhan tersebut adalah kesalahan tak boleh jamin dan jumlah kerugian adalah besar.

Peguam Tan Choon Hong, yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal kepada isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berumur 11 tahun.

Ramesh membenarkan Mugilan dibebaskan dengan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 November ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain