Nilai Calon Dengan Baik Semasa Pemilihan Esok - Muhyiddin - Semasa | mStar

Nilai Calon Dengan Baik Semasa Pemilihan Esok - Muhyiddin

HANOI: Menjelang pemilihan bagi jawatan tertinggi dalam Umno esok, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap para perwakilan meneliti semasak-masaknya setiap calon yang menawarkan diri sebelum membuat pilihan mereka.

Timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno berkata calon yang baik dianggap boleh membantu mengukuhkan kepimpinan dalam Umno iaitu berkelayakan, berpengalaman, berperwatakan baik, sedia berkhidmat dan berjuang untuk parti, bangsa, agama dan negara selain tidak terjebak dengan perbuatan yang tidak sesuai.

Beliau yakin kira-kira 146,000 perwakilan dari 191 bahagian akan membuat keputusan bijaksana yang akhirnya menghasilkan keputusan bahawa Umno sebuah parti yang berwibawa, berintegriti dan pemimpin yang dipilih pula berkemampuan, bijaksana, berakhlak dan bermoral tinggi.

Muhyiddin ditemui media Malaysia selepas menyampaikan ucapan di majlis mesyuarat Peneraju Industri Malaysia dan Vietnam di sini hari ini yang disertai 60 pemimpin pelbagai industri dari kedua-dua negara. Sebanyak 71 calon akan bertanding merebut 29 kerusi jawatan yang dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi Tetap (tiga calon), Naib Presiden (enam) dan anggota Majlis Tertinggi (62).

Muhyiddin berkata keputusan pemilihan itu kelak akan dinilai bukan sahaja oleh anggota Umno bahkan seluruh rakyat Malaysia.

Walau apapun keputusannya, beliau berharap Umno selepas pemilihan itu kelak menjadi parti yang lebih kuat, lebih disegani, lebih dihormati dan tidak dipalit dengan sebarang perkara tidak sihat.

Bagi calon pula, beliau berkata sama ada mereka terpilih atau tidak dalam pemilihan itu merupakan lumrah dalam proses demokrasi. "Yang kalah itu ahli parti dan yang menang juga ahli parti, tetapi kalau mereka tidak terpilih tidaklah bermakna terputus tanggungjawab dan peranan mereka," kata beliau yang merujuk diri beliau sendiri sebagai pernah tidak terpilih untuk jawatan dalam parti namun tetap meneruskan perjuangan.

Beliau meminta calon yang tidak terpilih agar terus memberi sokongan kepada calon yang dipilih walaupun hanya menang dengan satu undi sahaja kerana ia proses demokrasi yang dipilih Umno.

Mengenai kemungkinan berlaku perpecahan dalam parti selepas proses pemilihan, Muhyiddin berkata dalam mana-mana proses pemilihan akan timbul masalah tetapi janganlah masalah itu sampai membawa perpecahan dalam parti.

"Kalau ahli parti pentingkan imej parti dan maruah parti dijaga dan dipelihara, maka ahli tidak akan berbuat sesuatu yang tidak baik," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

Artikel Lain