suria

Kempen Sampai Naik Meluat & Bidaan Pada Tahap Tertinggi...

KHABARNYA, laporan daripada ejen-ejen dan kawan-kawan sama ada yang bertanding atau tidak bertanding ialah calon-calon untuk kerusi naib presiden Umno, Majlis Tertinggi (MT) dan kepimpinan bahagian masih giat berkempen (secara sihat dan tidak sihat) untuk menang dalam pemilihan parti itu pada Sabtu.

Di bahagian, para panglima perang yang telah bertahan pada jawatan yang sama sejak berkurun lamanya enggan melepaskan jawatan dan sedang berjuang untuk mempertahankannya sehingga "ke titis darah terakhir".

Malah ada muka lama yang telah sekian lama berpencen mahu kembali menyandang jawatan yang suatu ketika dahulu mereka lepaskan sama ada secara sukarela atau dalam keterpaksaan kepada orang lain.

Muka baru pula merasakan inilah masanya untuk mereka bertapak kukuh di bahagian agar masa depan karier politik mereka terus maju ke hadapan.

Tapi yang pasti, mempertahankan jawatan adalah jauh lebih sukar dan payah daripada merampasnya dari tangan orang lain.

Yang paling ketara ialah calon-calon yang menyandang jawatan di peringkat nasional sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, pengerusi agensi dan apa sahaja, mengambil iklan sebesar yang mungkin di dalam media-media cetak utama negara dengan harapan, kerja mereka dibaca, dihayati dan diiktiraf oleh para perwakilan yang bakal mengundi.

Ada yang menggunakan strategi yang lebih ke hadapan dengan membeli naskhah akhbar di mana cerita atau rencana pengiklanan mereka tersiar dan mengedarkannya secara percuma di bahagian-bahagian.

Ada seorang menteri itu, wajahnya sama ada dalam bentuk iklan atau rencana iklan yang ditempah oleh sama ada kementerian atau agensi di bawah kementeriannya boleh dikatakan keluar setiap hari di dalam akhbar.

Malah tidak cukup dengan satu agensi, kadang-kadang sampai dua agensi yang berlainan mengambil iklan dalam satu hari di dalam akhbar.

Yang paling lucu, kadang kala juga, iklan rencana yang disiarkan itu lebih banyak gambar daripada penulisan. Dan gambar menteri itu pula sampai tujuh, lapan atau sepuluh keping dimuatkan di setiap penjuru, kiri, kanan, atas, bawah muka surat penuh.

Sampai ada perwakilan yang berkata; “Sampai naik meluat pun ada tengok muka keluar iklan tiap-tiap hari dalam paper...”

Jadi akhirnya bagi mereka yang ada jawatan dalam kerajaan dan agensi, nampaknya mereka seperti ada bukan sedikit tetapi kelebihan yang banyak berbanding calon-calon ‘swasta’ yang tidak ada apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Iklan yang ditempah di dalam akhbar bukannya murah tetapi siapa yang ada kementerian dan agensi untunglah sebab yang bayar harga iklan itu bukannya dia.

Ada orang bertanya tak salahkah buat iklan seperti itu?

Dari segi peraturannya memang tidak salah kerana rencana iklan yang ditempah dan disiarkan itu adalah mengenai kerja-kerja menteri atau pengerusi berkenaan di kementerian dan agensi masing-masing atau mengenai aktiviti rasmi mereka selaku menteri dan pengerusi.

Tetapi dari segi moralnya adalah tidak kena. Tidak kena kerana satu sebab sahaja - kenapa iklan-iklan apatah lagi iklan yang begitu banyak mengenai kerja-kerja seorang menteri atau pengerusi agensi itu tiba-tiba muncul berselang-seli, hari demi hari tanpa henti sepanjang tempoh kempen pemilihan parti berlangsung.

Ada juga orang bertanya, patutkah perdana menteri dan timbalan perdana menteri menegur perbuatan membeli iklan atas nama kementerian dan agensi tetapi memaparkan gambar dan cerita calon-calon yang bertanding setiap hari sehingga ke tahap yang melampau-lampau.

Tidakkah ini satu bentuk kempen secara senyap dan halus yang tidak adil kepada mereka yang tidak menyandang apa-apa jawatan di peringkat pusat, negeri mahupun agensi?

Akhirnya ini menjadi padang permainan yang tidak sekata untuk semua - maknanya siapa yang ada tempat dan jawatan maka untunglah dia.

Untuk berlaku adil pada semua yang bertanding maka eloklah pada masa akan datang, perkara seperti ini ditentukan oleh Ibu Pejabat parti.

Misalnya, pada majlis memperkenalkan calon-calon di peringkat negeri, Badan Perhubungan Umno Negeri melalui restu Ibu Pejabat membuka ruang kepada calon-calon menampalkan profil tentang diri masing-masing di papan-papan tanda yang disediakan oleh pihak penganjur agar senang sesiapa sahaja termasuk perwakilan meneliti, membaca dan mengetahui tentang latar belakang calon-calon yang bertanding.

Di samping kosnya tidak tinggi, ini juga dapat mengelakkan daripada calon yang ada jawatan menggunakan bajet kementerian dan agensi mereka untuk menjaja profil mereka di dalam akhbar yang mana calon yang tiada jawatan seperti itu tidak berpeluang untuk berbuat demikian.

SENARAI CALON PILIHAN...

Sementara itu, di bahagian-bahagian, ejen-ejen calon yang bertanding khususnya jawatan MT dan naib presiden telah mula sibuk mengedar senarai nama (list atau chai) yang mengandungi nama-nama calon pilihan untuk dipilih oleh perwakilan.

Nampaknya tiada siapa pun peduli akan amaran yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat parti bahawa senarai atau chai tidak dibenarkan dalam pemilihan kali ini.

Namun begitu siapa yang mahu mendengar arahan tersebut kerana amalan ini telah menjadi amalan turun temurun sejak berkurun lamanya. Penulis turut menerima salinan pelbagai senarai/chai yang dihantar menerusi telefon.

Salah satu senarai nama pilihan yang penulis terima tidak mengandungi nama-nama utama yang dikatakan akan menang kerusi-kerusi tertentu. Maka penulis pun mengirim sms kepada ejen-ejen ini dan bertanya, mana mungkin nama sipolan dan sipolan tercicir dari senarai bahagian ini.

Lima minit kemudian penulis menerima balasan sms yang berbunyi seperti berikut;

“Ini bukanlah list final...ini adalah list awal. List final akan keluar pagi sebelum mengundi. List yang saudara terima hanyalah decoy (umpan) agar mesej sampai kepada calon yang nama mereka tidak tersenarai agar membuat bidaan tertinggi...”

Jadi penulis harap pembaca faham-faham sajalah maksud sms berkenaan. Tak perlulah penulis menghuraikannya dengan panjang lebar di sini apa yang sebenarnya sedang berlaku di bawah sana (bahagian-bahagian) dan apa yang mereka maksudkan dengan ‘bidaan tertinggi’.

Ini adalah permainan pada tahap tertinggi...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain