suria

Calon MT Perlu Tekankan Isu Rakyat, Kepentingan Melayu Dalam Kempen

KUALA LUMPUR: Calon-calon Majlis Tertinggi Umno seharusnya menekankan isu yang melibatkan rakyat dan aspek-aspek tertentu kepentingan orang Melayu dalam kempen mereka, kata bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam.

Sebaliknya, kata beliau calon-calon didapati lebih menumpukan isu-isu kepentingan Melayu yang berbentuk emosional dan secara umum.

"Semenjak proses pemilihan Umno ini berjalan, nampaknya perbahasan ataupun debat atau perbincangan, isu-isu menunjukkan seolah-olah Umno belum dapat fokus kepada isu-isu yang terpenting kepada negara. "Ada banyak perkara yang harus diambil berat kepada mereka ini, perbahasan harus ditumpukan kepada isu-isu nasional. Adapun isu-isu yang dikatakan kepentingan Melayu yang dibangkitkan, cuma merupakan isu-isu emosional sahaja.

"Kalau ada yang kata untuk kepentingan Melayu, tidak ada perbahasan yang betul-betul mengenal pasti matlamat seperti ke manakah Melayu hendak pergi?

"Apakah erti kata kepentingan Melayu, bagaimanakah orang Melayu hendak menghadapi dunia moden, bagaimanakah orang melayu hendak menghadapi rakyat jelata daripada keturunan lain?" katanya kepada Bernama dan Malaysia Gazette dalam satu temu bual di sini.

Veteran Umno itu berkata pemilihan pucuk pimpinan Umno bukan terhad kepada kepimpinan orang Melayu atau anggota Umno sahaja tetapi proses pemilihan dalam parti ini ialah proses pemilihan pucuk pimpinan negara Malaysia. "Sebagai parti yang terbesar dan terpenting, kita tidak boleh lagi dengan 'generalities'.

"Saya lebih kecewa lagi sebab isu-isu yang timbul dan ditimbulkan oleh rakyat jelata keseluruhannya, tidak timbul langsung (dalam kempen mereka)," kata beliau.

Musa berkata isu-isu kebimbangan rakyat seperti amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa serta keselamatan peribadi perlu diambil kira dan dijadikan tumpuan bagi calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi dalam parti.

"Persoalan seperti ini harus dikemukakan terutama kepada mereka yang nak jadi 'top leaders'. Rakyat pasti mahu dengar apa pendapat mereka dan bagaimana mereka mahu mengatasinya bila menjadi pemimpin atau menteri nanti," kata beliau.

Kira-kira 146,000 anggota akar umbi akan menentukan saf kepimpinan tertinggi parti dalam pemilihan esok.

Sebanyak 71 orang calon akan bertanding untuk merebut 29 kerusi jawatan yang dipertandingkan dalam Majlis Tertinggi iaitu timbalan pengerusi tetap (tiga calon), naib presiden (enam) dan anggota Majlis Tertinggi (62).

Musa sebelum ini dilapor menyarankan agar keenam-enam calon naib presiden dipertemukan dalam sebuah program pendebatan televisyen. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain