suria

Umno Perak Desak Benarkan Keputusan MT Diumum Di Bahagian Masing-Masing

IPOH: Badan Perhubungan Umno Perak pada Khamis mendesak Jawatankuasa Pemilihan Umno pusat supaya membenarkan keputusan pemilihan anggota Majlis Tertinggi (MT) parti Sabtu ini diumumkan di hadapan perwakilan bahagian masing-masing.

Setiausahanya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata selain itu, setiap keputusan hendaklah disahkan oleh pengerusi pemilihan Umno peringkat bahagian dan wakil calon yang dilantik serta salinan keputusan diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri dan setiausaha bahagian sebagai rekod.

"Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi ketelusan dan keterbukaan dalam proses pemilihan jawatan-jawatan dalam Umno, sebagaimana yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan parti dan anggota akar umbi.

"Perwakilan bahagian perlu mendapat hak untuk mengetahui keputusan hasil daripada pengundian yang mereka buat," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya arahan yang menghalang pengumuman keputusan bagi jawatan-jawatan peringkat tertinggi parti dibuat di peringkat bahagian adalah terlalu janggal dan boleh mengurangkan kepercayaan anggota parti terhadap ketelusan parti.

"Apabila parti inginkan transformasi, maka peraturan-peraturan yang mengelirukan anggota parti hendaklah diminimumkan, serta mengelakkan ianya menjurus ke arah memenuhi kepentingan pihak dan individu tertentu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain