suria

Tiga Ditahan Menyamar Pegawai Kerajaan Rompak Warga Asing

SEREMBAN: Seorang lelaki menganggur telah memaksa dua adik iparnya yang masih belajar menyamar sebagai pegawai penguatkuasa dan merompak warga asing.

Suspek, berusia 34 tahun dari Port Dickson di sini yang merupakan seorang anggota Rela pada mulanya menyuruh kedua-dua mereka yang berumur 22 dan 21 tahun menyamar sebagai polis dan pegawai Imigresen untuk merompak seorang warga Bangladesh sebanyak RM250 pada hari Isnin.

"Mereka kemudian membawa mangsa warga Bangladesh ke tempatnya di tapak pembinaan dan merompak kira-kira RM1,000 daripada pekerja-pekerja Indonesia di sana.

"Kemudian mereka pergi ke satu lagi kawasan berhampiran dan merompak pekerja-pekerja Indonesia sebanyak RM1,750," kata pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Manan Mhd Hassan pada Khamis.

Salah seorang daripada mereka sedang mengikuti jurusan undang-undang di Universiti Infrastruktur KL manakala seorang lagi di Institut Kemahiran Belia Negara di Chembong dekat sini.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka memakai jaket yang melambangkan 'Kementerian Dalam Negeri' dan membawa sepasang gari untuk menipu mangsa mereka.

"Mereka akan berpura-pura untuk memeriksa kesahihan pasport dan permit mangsa dan menggeledah kediaman mereka semasa mangsa berada di luar," katanya.

Abd Manan berkata, polis menahan suspek selepas mangsa mereka membuat laporan.

"Kami sedang menyiasat jika mereka juga terlibat dalam kes-kes yang sama sebelum ini," katanya sambil menambah ketiga- tiga telah ditahan reman sehingga 22 Oktober bagi membantu siasatan.

Abd Manan menggesa orang ramai supaya menghubungi talian hotline polis daerah dan negeri jika mereka mempunyai keraguan mengenai status anggota polis atau pegawai penguat kuasa lain yang menjalankan serbuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain