suria

Tiga Bersaudara Bebas Tuduhan Bunuh Penganggur

BEBAS...Dua beradik dan seorang sepupu, S. Manigumar, 40, adiknya S. Manimaran, 30-an, serta S. Gopikumar, 30-an ketika tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, atas tuduhan membunuh seorang penganggur lima tahun lepas. Mahkamah Tinggi membebaskan mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Dua beradik dan sepupu mereka menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh seorang penganggur, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak membebaskan S. Manigumar, 40-an, adiknya S. Manimaran, 30-an dan sepupu mereka S. Gopikumar, 30-an selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata mangsa, M. Sasi Kumar, 25, dikatakan meminjam wang daripada abang dua beradik itu dan ketiga-tiga tertuduh pergi ke rumah mangsa untuk meminta semula wang yang dipinjam.

Beliau berkata saksi, adik mangsa bernama Komathy dalam keterangannya memberitahu beliau nampak ketiga-tiga tertuduh datang ke rumah dan mencederakan mangsa.

Mohd Sofian berkata walaupun adik mangsa merupakan saksi yang boleh dipercayai tetapi mahkamah harus membuat penilaian menyeluruh terhadap kes itu.

Menurutnya kegagalan pihak pendakwaan memanggil dua individu lain iaitu Ravi yang didakwa membuat pengakuan kepada bapa saudara mangsa bahawa dia telah membunuh mangsa dan Zulkifli yang membuat laporan polis selepas mendakwa melihat mangsa dipukul di rumahnya, didapati telah melemahkan kes pendakwaan.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada tuduhan membunuh Sasi Kumar.

Sejurus Mohd Sofian membacakan keputusannya, Manigumar, Gopikumar dan Manimaran dilihat bersalaman dengan peguam mereka sebelum bergegas meninggalkan mahkamah bersama anggota keluarga masing-masing.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas membunuh mangsa di hadapan rumah Blok BG-06, Desa Putra Apartment, Jalan Bunga Raya 2, Medan Batu Caves, Gombak, pada pukul 7 malam, 5 Mac 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Sebanyak 21 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin sementara Manigumar diwakili peguam S. Ravichandran, Gopikumar diwakili peguam S.S. Dev dan Manimaran diwakili peguam K. Theivaendran serta Rajpal Singh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain