suria

PAS Terengganu Gerakkan 200 Petugas Ke DUN Sungai Limau

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu akan menghantar kira-kira 200 petugas bagi membantu kempen mempertahankan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah dalam pilihan raya kecil kawasan itu 4 November ini.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata kontinjen PAS Terengganu akan mula berkampung di sana bermula 19 Oktober ini.

"Kita akan menghantar petugas sebanyak empat peringkat dengan kekuatan 50 petugas dalam satu peringkat dan akan dipecahkan kepada dua kumpulan meliputi Pemuda, Muslimat, dan veteran PAS.

"Ia akan dipimpin oleh Ustaz Ariffin Deraman selaku pengarah jentera pilihan raya negeri dan timbalan ialah Hanafiah Mat," katanya dalam sidang akhbar di sini Khamis.

Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau diadakan berikutan wakil rakyatnya Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 4 November.

DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar.

DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai dimenangi Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan majoriti 2,774 undi dengan mengalahkan calon Barisan Nasional, Mohd Fazillah Mohd Ali dan dua calon Bebas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain