suria

Malaysia Dan Vietnam Tandatangani MoU Bidang Pengajian Tinggi

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersalaman dengan Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam, Prof. Pham Vu Luan selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Tinggi antara kerajaan Malaysia dan Vietnam di Rumah Tetamu Kerajaan di Hanoi, Khamis. -fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersalaman dengan Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam, Prof. Pham Vu Luan selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Tinggi antara kerajaan Malaysia dan Vietnam di Rumah Tetamu Kerajaan di Hanoi, Khamis. -fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersalaman dengan Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam, Prof. Pham Vu Luan selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Tinggi antara kerajaan Malaysia dan Vietnam di Rumah Tetamu Kerajaan di Hanoi, Khamis. -fotoBERNAMA

HANOI: Malaysia dan Vietnam pada Khamis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam pengajian tinggi termasuk pertukaran staf akademik, pakar dan penuntut institusi pengajian tinggi.

MoU itu ditandatangani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pihak kerajaan Malaysia dan Vietnam diwakili Menteri Pelajaran dan Latihan Prof Pham Vu Luan. Ia disaksikan Timbalan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Thein Nhan.

Muhyiddin berkata antara objektif MoU ialah menambah bilangan pelajar Vietnam di institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang kini berjumlah lebih 500 orang kepada kira-kira 5,000 orang.

Beliau berkata perjanjian berbentuk timbal balas dengan Malaysia menawarkan peluang pendidikan kepada pelajar Vietnam dengan kos lebih rendah daripada di negara-negara lain manakala standard pendidikan setanding atau lebih tinggi.

Pelajar Malaysia pula boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang yang Vietnam lebih maju seperti pertanian, katanya dalam sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini.

MoU itu ditandatangani sempena lawatan rasmi dua hari Timbalan Perdana Menteri di Vietnam.

Bidang lain dikenal pasti dalam MoU itu ialah pertukaran maklumat mengenai sistem dan struktur pengjaian tinggi; pembaharuan dan teknologi baharu pendidikan; dan program dua hala antara institusi pengajian tinggi diiktiraf dalam bidang teknikal, vokasional dan pengajian tinggi.

Ia juga termasuk pertukaran pendidikan kesusasteraan, alat bantu mengajar, bahan-bahan maklumat dan demonstrasi serta penganjuran pameran dan seminar berkaitan serta pindahan jumlah jam pengajian dan program-program antara institusi pengajian tinggi yang diiktiraf.

Yang terakhir ialah bantuan sokongan bersama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi dan pendidikan teknikal.

Sebelum majlis menandatangani MoU itu, Muhyiddin mengadakan perbincangan kira-kira sejam dengan Nhan.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain pendidikan, perbincangan turut menyentuh isu ekonomi, perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja serta pertanian.

Muhyiddin berkata Nhan menyatakan Vietnam berminat menandatangani MoU dalam bidang pertanian dengan Malaysia dan mencadangkan MoU khusus untuk bekalan beras dan padi dan beliau akan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melakukan tindakan susulan.

Beliau berkata dalam bidang ekonomi, Timbalan Perdana Menteri Vietnam itu gembira dengan jalinan kerjasama antara syarikat kedua-dua negara dan berharap lebih banyak lagi syarikat Malaysia melabur di Vietnam.

Muhyiddin berkata beliau telah menyatakan minat syarikat Malaysia untuk menerokai bidang cari gali minyak dan gas di Vietnam dan meminta kerajaan Vietnam memberi perhatian terhadap kekangan dan isu yang dihadapi syarikat Malaysia.

Katanya beliau turut menerangkan tentang cara Malaysia mengatasi masalah dihadapi sektor swasta dengan memberi contoh penubuhan PEMUDAH (Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan) dan Vietnam berminat menghantar pegawai ke Malaysia untuk mengetahui mengenainya.

Mengenai isu tenaga manusia, Muhyiddin berkata Timbalan Perdana Menteri Vietnam itu menyatakan minat untuk meneruskan persefahaman yang telah dijalin sejak 2003 tetapi sudah tidak begitu aktif.

Beliau berkata Malaysia juga akan melihat kesesuaian menubuhkan institusi latihan di Vietnam.

Katanya ini susulan Nhan menyatakan mengenai kekurangan tenaga kerja terlatih di Vietnam manakala Jepun dan Jerman telah menubuhkan institusi latihan di negara itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain