suria

Hiew Tidak Akan Dikeluarkan Daripada Kerusi DUN - Timbalan Speaker

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang, Hiew King Cheu yang menerima tekanan daripada DAP untuk mengosongkan kerusinya selepas keluar parti, tidak akan dikeluarkan dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut undang-undang.

DAP telah membuat permintaan itu atas alasan bahawa Hiew, yang bertanding atas tiket parti itu telah berikrar sebelum pilihan raya umum ke-13 bahawa beliau akan berundur apabila meninggalkan DAP.

Timbalan Speaker DUN Datuk Johnny Mositun berkata menghapuskan Hiew dengan cara mengosongkan kerusinya tidak mempunyai asas undang-undang.

"Apa sahaja perjanjian mana-mana ahli DAP yang dibuat adalah berkaitan parti dan tidak ada kena mengena dengan sidang DUN itu," katanya ketika dihubungi, Khamis.

"Tidak ada asas undang-undang terhadap permintaan DAP walaupun Hiew telah memenangi kerusi itu atas tiket DAP (bulan Mei) dan kemudian keluar parti bulan lalu," katanya.

Sementara itu, Hiew berkata beliau tidak faham mengapa DAP telah menimbulkan kekecohan mengenai keputusannya untuk keluar parti.

"Ia adalah perlembagaan dan hak demokrasi saya untuk memilih dan memutuskan tindakan dan hala tuju terbaik untuk kawasan Luyang," katanya.

Ketua DAP Sabah Jimmy Wong telah mengemukakan surat parti mengenai isu itu kepada DUN pada Rabu.

Parti itu mendakwa Hiew telah menandatangani ikrar sebelum PRU-13 bahawa beliau akan mengosongkan kerusi Luyang jika keluar parti.

Wong berkata Hiew juga telah menandatangani pengakuan bahawa ikrar adalah sah dan tidak boleh ditarik balik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain