suria

EGM MCA Bukan Serangan Peribadi Terhadap Liow - Soi Lek

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menegaskan bahawa mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti yang bakal berlangsung pada Ahad ini bukan bertujuan untuk mengadakan serangan peribadi terhadap timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Chua berkata, dakwaan beliau 'menentang' Liow menerusi resolusi EGM Ahad ini adalah tidak benar kerana resolusi itu telah disokong dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat parti.

"Ia (resolusi) menyampaikan mesej penting kepada pemimpin-pemimpin MCA, jika mereka dilantik bagi jawatan penting dalam parti... mereka mempunyai tanggungjawab melaksanakan tugas atau tidak memegang jawatan (jika tidak bertanggungjawab).

"Resolusi ini bukan bermaksud untuk mempersalahkan sama ada Datuk Seri Liow Tiong Lai atau kekalahan teruk MCA pada pilihan raya umum 5 Mei lalu," katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai antara empat resolusi EGM MCA pada Ahad ini (20 Oktober) yang akan memberi teguran berkenaan sikap Liow membabitkan parti.

Chua berkata, sebagai presiden beliau seharusnya bertanggungjawab kepada parti dan tiada sesiapa yang menyatakan ia perlu ditanggungjawabkan oleh Liow.

Bagaimanapun beliau berkata, Liow perlu diingatkan bahawa tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya Umum MCA adalah untuk berjumpa dan membantu calon-calon parti yang bertanding di 127 kawasan pilihan raya.

"Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu turun padang, memahami masalah mereka dan memikirkan strategi dan keperluan untuk MCA. Tetapi dia tidak menjalankan tugasnya. Dia hanya melawat tidak sampai pun 10 daripada 127 kawasan pilihan raya itu.

"Oleh itu, resolusi ini memberi mesej yang sangat kuat kepada semua pemimpin MCA akan datang supaya menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Beliau menambah, resolusi EGM itu merujuk kepada semua pemimpin dalam parti supaya bertanggungjawab dan bukan hanya Liow sahaja.

"Semua pemimpin mempunyai tanggungjawab dan ini termasuk Datuk Seri Liow Tiong Lai, dalam memastikan semuanya berdisplin dalam parti," katanya.

Tiga lagi resolusi EGM parti pada Ahad ini adalah (1) mengubah resolusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2011 dan AGM 2012 bagi membolehkan anggota MCA memegang jawatan dalam Kabinet seperti Menteri dan Timbalan Menteri.

Ini termasuk (2) anggota parti boleh menerima perlantikan sebagai Senator atau mana-mana jawatan dalam Kerajaan dan (3) anggota parti boleh menerima mana-mana perlantikan di peringkat kerajaan negeri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain