Siapa Akan Jadi Presiden Baharu Gerakan? - Semasa | mStar

Siapa Akan Jadi Presiden Baharu Gerakan?

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata beliau tidak akan bertanding jawatan tertinggi parti pada 26 Oktober ini tetapi beliau mungkin tersilap jika percaya peralihan kuasa itu berjalan lancar tanpa pertandingan, seperti yang diharapkannya.

Ada perkhabaran bahawa Naib Presiden dan Pemangku Setiausaha Agung, Datuk Mah Siew Keong dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang baharu dan bekas Setiausaha Agung, Teng Chang Yeow juga berhasrat bertanding jawatan tertinggi itu.

"Saya mahu mengelak perebutan untuk jawatan nombor satu. Mudah-mudahan dengan memberi laluan, ia akan membuka laluan kepada peralihan kuasa yang aman. Senario politik sekarang secara peribadi saya merasakan kita tidak mampu lagi menghadapi perebutan kuasa dalam parti," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Chang, 56, berkata beliau mahu memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui parti. Mah, 52, dan Teng, 50, lebih muda daripada Chang, tetapi siapakah yang dirujuk beliau sebagai 'pemimpin muda'?

Beliau menjelaskan selama ini, Gerakan telah melatih banyak pemimpin berkaliber dan masanya telah tiba bagi mereka mengambil alih parti dan membawa pendekatan baharu, strategi baharu dan imej baharu.

"Sama ada saya suka atau tidak, saya merupakan golongan lama kerana saya telah bekerja bersama-sama mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik bertahun-tahun. Walaupun saya masih menganggap diri saya muda, saya tidak dapat mengelak persepsi bahawa saya tergolong dalam era Keng Yaik.

"Oleh itu selepas mempertimbangkannya saya membuat keputusan berundur. Lebih-lebih lagi, dengan senario politik sekarang, anda memerlukan orang muda tampil dengan idea-idea dan cadangan dan mereka yang cukup berani mencuba pendekatan baharu manakala orang seperti saya akan bekerjasama dengan mereka," katanya.

Chang pernah berkhidmat sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Perak selama tiga penggal (dari 1995 hingga 2004) dan sebagai Ketua Pemuda Gerakan (1996 hingga 1999) sebelum dilantik sebagai Timbalan Presiden Gerakan pada 2008.

Beliau dilantik Pemangku Presiden pada 16 Mei lepas selepas Presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meletak jawatan kerana mahu memikul tanggungjawab berikutan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Gerakan hanya memenangi satu kerusi Parlimen daripada 11 kerusi dan tiga daripada 32 kerusi negeri yang dipertandingkan.

Chang juga berkata dengan menjauhi jawatan tertinggi parti, "Saya masih boleh bekerja dan menyumbang dalam kapasiti lain. Tidak perlu (mempunyai) jawatan tertinggi untuk memberi sumbangan".

Katanya beliau masih boleh menyumbang kepada parti dengan cara lain seperti latihan keanggotaan, kajian dan membantu parti menyuarakan pandangan.

Sementara itu, sama ada Mah dan Teng akan bertanding jawatan tertinggi itu hanya diketahui pada Sabtu selepas borang pencalonan dikemukakan.

Sumber dalaman parti berkata Teng secara peribadi memberitahu beberapa pemimpin dan anggota akar umbi yang beliau berhasrat bertanding jawatan presiden tetapi sesetengah pemimpin berkata mereka memilih Mah, yang mendapat undian tertinggi selaku Naib Presiden pada 2008.

Mah bekas anggota Parlimen Teluk Intan (1999-2008), bekas Timbalan Menteri dan Ketua Pemuda Gerakan (2002-2008). Beliau memikul tanggungjawab pemangku Setiausaha Agung pada 11 Mei berikutan peletakan jawatan Teng sebagai Setiausaha Agung dan pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang.

Teng adalah anggota Jawatankuasa Pusat dan dipilih sebagai pengerusi Gerakan Pulau Pinang pada 15 September.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain