suria

Kemenangan Sayap Tidak Menjanjikan Kemenangan Saya - Hishammuddin

BUKIT MERTAJAM: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa kemenangan dua pemimpin sayap parti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bukan penentu kemenangannya.

Katanya, kemenangannya bergantung di tangan 150,000 perwakilan dan apa yang dimainkan dalam blog atau forum mengenai dirinya bukanlah pandangan benar.

"Saya ingin tegaskan kemenangan saya bukan kerana sayap tetapi kerana tuan, ia bersandarkan kepada isu, kepimpinan, ujian dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pemimpin UMNO negeri Pulau Pinang, Isnin.

"Ini kerana pada pemilihan UMNO 2008, seramai lapan orang bertanding dimana mereka (blogger) kata saya tiada peluang dan kalah pada kedudukan nombor lapan tetapi saya dapat nombor dua," katanya.

Ditanya keyakinannya untuk mempertahankan jawatannya, Hishammuddin berkata beliau mahu perwakilan membuat keputusan bersandarkan kebenaran dan keadilan ke atas dirinya.

Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan itu berkata anggota Umno perlu memilih barisan kepimpinan parti berdasarkan kewibawaan, pengalaman serta kepimpinan pemimpin yang sudah teruji.

"Pemilihan dalam Umno amat penting. Pemilihan dalam kita menentukan anggota majlis tertinggi, barisan naib presiden mestilah selari dengan kehendak mereka yang dah lalui pahit getir kepimpinan Umno dan negara," katanya.

Beliau turut mengingatkan para perwakilan agar mengetepikan soal emosi ketika mengundi.

"Saya berharap para perwakilan akan mengundi pemimpin yang boleh bekerjasama dengan pucuk kepimpinan untuk memastikan parti akan kekal relevan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain