suria

MCA Cadang Sistem Ganjaran-Hukuman Penjawat Awam Galakkan Akauntabiliti

KUALA LUMPUR: MCA mencadangkan agar satu sistem ganjaran-hukuman yang komprehensif dilaksanakan untuk menggalakkan sikap kebertanggungjawaban di kalangan penjawat awam, ekoran penyalahgunaan dana awam seperti Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012.

Ketua Biro Publisiti MCA, Datuk Heng Seai Kie berkata, kerajaan perlu mengkaji secara serius mengenai cadangan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi menyiasat penyalahgunaan kuasa dan penipuan membabitkan penjawat awam, berdasarkan laporan itu.

"Jika tiada tindakan diambil kali ini, kita tidak ragu-ragu melihat kejadian penderaan lagi pada masa depan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Ketua Wanita MCA Perak itu turut mencadangkan; "Kerajaan boleh memberi ganjaran kepada staf atau jabatan dengan memberi mereka insentif berdasarkan merit dan prestasi".

Sekiranya sistem meritokrasi tidak dilaksanakan untuk menilai prestasi penjawat awam, ia akan menjejaskan kualiti dan kecekapan, sekali gus menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan, katanya.

"Dengan cara ini, penjawat awam akan digalak untuk bekerja keras dan bertanggungjawab sejajar dengan sistem ganjaran-hukuman," katanya.

Heng juga mendakwa perkhidmatan awam dianggap sebagai pekerjaan yang terjamin kerana masih boleh berselindung di sebalik kerajaan meskipun prestasi kerja tidak memuaskan.

Katanya, laporan audit itu membuktikan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berazam untuk menghapuskan rasuah serta membuktikan kerajaan telus dan adil dalam pentadbirannya. - BERNAMA

Artikel Lain