suria

Pengerusi Tekun Kalah Di Gopeng

IPOH: Ketua Penerangan Wanita Umno pusat, Datuk Hamidah Osman tewas dalam pertarungan untuk mempertahan jawatan Ketua Wanita bahagian Gopeng pada pemilihan peringkat bahagian pada Sabtu.

Hamidah, yang turut bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dan seorang lagi calon Wan Razita Wan Razak ditewaskan Juliliyana Mohd Junid.

Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) itu memperoleh 143 undi, Juliliyana meraih 163 undi manakala Wan Razita mendapat 20 undi.

Pemilihan Wanita Umno di kesemua 24 bahagian di Perak menyaksikan 12 calon Ketua Wanita bahagian menang tanpa bertanding.

Ketua Wanita negeri, Datuk Rusnah Kassim mengekalkan jawatan Ketua Wanita bahagian Tanjung Malim tanpa dicabar manakala Exco Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Nolee Ashilin Mohamed Radzi turut menang tanpa bertanding bagi jawatan sama di Kampar.

Sementara itu, Ketua Puteri negeri Salbiah Mohamed, yang mempertahan jawatan Ketua Puteri di Gerik, merupakan antara 16 calon menang tanpa bertanding.

Bagi jawatan Ketua Pemuda bahagian, lima calon menang tanpa bertanding.

Mohamad Iruan Zulkefli, yang turut bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pusat, mengekalkan jawatan Ketua Pemuda di Lenggong.

Bahagian Parit Buntar menyaksikan Presiden Belia 4B Malaysia Muamar Ghadafi Jamal Jamaludin menewaskan dua pencabar lain bagi jawatan Ketua Pemuda. - BERNAMA

Artikel Lain