suria

Pencerobohan Lahad Datu: Tian Chua Dapat Kebenaran Tangguh Perbicaraan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini membenarkan permohonan anggota Parlimen Batu, Tian Chua bagi perbicaraan pertuduhan menghasut dihadapinya berhubung kenyataannya mengenai pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, ditangguhkan sementara menunggu rayuannya selesai.

Tian Chua, 50, mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Sept yang menolak pemohonannya untuk membatalkan pertuduhan menghasut itu.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan permohonan Tian Chua untuk menangguhkan perintah itu.

Peguam yang mewakili Tian Chua, Latheefa Koya memohon penangguhan perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang ditetapkan 16 dan 17 Oktober, sementara menunggu rayuan anak guamnya itu selesai.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim tidak membantah permohonan itu.

Tian Chua, yang merupakan naib presiden Parti Keadilan Rakyat, menghadapi pertuduhan membuat kenyataan kononnya pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang Umno untuk mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Tian Chua, yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, didakwa melakukan kesalahan itu di Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, off Jalan Yew, Kuala Lumpur pada kira-kira 11 pagi, 1 Mac tahun ini.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 14 Mac tahun ini. Tian Chua dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan penjara lima tahun bagi kesalahan seterusnya, jika sabit kesalahan.

Pada 12 April, beliau memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya itu atas alasan pertuduhan itu tidak sah di sisi undang-undang, berniat jahat atau dengan mala fide, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan pertuduhan itu kekal dan tidak salah di sisi undang-undang. -BERNAMA

Artikel Lain