suria

Keputusan Pemilihan Sayap Umno Johor Seawal 4 Petang

JOHOR BAHARU: Keputusan pemilihan yang melibatkan tiga sayap parti di 26 bahagian Umno di Johor esok dijangka akan diperoleh seawal pukul 5 petang.

Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Samsolbari Jamali berkata sebanyak 780 petugas parti dan sukarelawan akan bertugas untuk memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat di 26 bahagian berkenaan. "Kita jangka keputusan pemilihan akan diperoleh paling awal pukul 5 petang dan ia akan diumumkan di setiap bahagian yang terlibat," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Beliau turut mengingatkan semua anggota perwakilan agar menghadiri mesyuarat pemilihan esok menyarankan agar mereka menggunakan sebijak mungkin hak yang ada pada mereka untuk memilih pemimpin yang difikirkan layak untuk menerajui sayap parti.

Antara yang menjadi tumpuan esok ialah mesyuarat pemilihan Umno Bahagian Kluang yang menyaksikan Ketua Wanita Umno Negeri Datuk Syarifah Azizah Syed Zain dicabar anggota Jawatankuasa Wanita Bahagian Kluang Haslina Mohd Dom untuk jawatan Ketua Wanita Umno bahagian itu.

Ia merupakan satu-satunya jawatan dipertandingkan dalam sayap Wanita di peringkat bahagian itu kerana semua calon untuk jawatan lain menang tanpa bertanding.

Sementara itu penyandang Ketua Wanita Umno Pasir Gudang Datuk Normala Abdul Samad yang juga anggota parlimen kawasan itu pula akan dicabar oleh Naib Ketua Wanita Bahagian Shahriah Ismail yang juga Ketua Wanita Umno Cawangan Mawar Utama.

Paling sengit ialah pemilihan untuk jawatan ketua Pemuda bahagian yang menyaksikan 21 daripada 26 bahagian akan ada pertandingan. Umno Bahagian Mersing menampilkan lima calon, yang paling banyak, menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu.

Untuk perebutan jawatan ketua Puteri bahagian pula, hanya lapan bahagian akan menyaksikan pertandingan - Bahagian Sekijang, Bakri, Batu Pahat, Kluang, Tenggara, Kota Tinggi, Pasir Gudang dan Kulai - manakala bahagian lain semua calon menang tanpa bertanding. -BERNAMA

Artikel Lain