suria

Hishammuddin Harap Pemilihan Berjalan Lancar

KOTA BAHARU: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap proses pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri serta bahagian parti itu pada Sabtu berjalan lancar.

Katanya setakat ini, beliau berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat-mesyuarat di peringkat cawangan di seluruh negara yang dilihat berlangsung dengan baik dan dalam semangat kekeluargaan.

"Tidak ada isu besar memburuk-burukkan calon dalam kalangan kita. Ini menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan anggota Umno khususnya di peringkat akar umbi.

"Saya harap proses pemilihan bersejarah kali ini akan berjalan lancar kerana selepas ini kita akan berhadapan dengan musuh-musuh politik kita yang sebenar apabila kita berjuang menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau dan Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Negara (4KN) di sini, Jumaat.

Beliau juga meminta Ibu Pejabat Umno supaya memastikan semua 150,000 anggota perwakilan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan teratur, selesa dan lancar.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata kelancaran dan keberkesanan proses pemilihan itu mencerminkan keutuhan Umno, yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) dan wajar menjadi contoh terbaik kepada parti komponen BN yang lain. -BERNAMA

Artikel Lain