suria

Bertanding Cara Sihat, Henti Fitnah - Maznah

ALOR SETAR: Calon Ketua Wanita Umno, Datuk Maznah Mazlan meminta pihak tertentu berhenti menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan nama baik pesaing bagi jawatan tertinggi itu, sebaliknya berkempen cara sihat.

Beliau mendakwa ada pihak menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) menyebar berita tidak menyenangkan dan berunsur fitnah mengenai calon bagi mengelirukan perwakilan.

"Gunakan kekuatan diri dalam usaha menawan hati perwakilan. Bagi diri saya, saya berfikiran terbuka dan pasrah dengan ketentuan Allah SWT," katanya tanpa menyatakan pihak terbabit.

Beliau ditemui Bernama selepas majlis memperkenalkan calon tiga sayap Umno di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di sini, Jumaat.

Pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan berlangsung esok.

Maznah berkata beliau akan membuat aduan kepada ibu pejabat parti mengenai perkara itu.

Seorang lagi calon Ketua Wanita, Raihan Suleiman Palestin berkata beliau bertanding kerana mahu membawa suara Wanita akar umbi kerana bebanan yang ditanggung mereka sebagai pengundi senyap tidak diangkat ke tahap sewajarnya.

"Kemenangan saya kelak bererti kemenangan akar umbi," katanya.

Beliau turut mempertikai tindakan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusof yang menggugurkan nama Palestin dalam kertas calonnya.

"Palestin bukan gelaran tetapi nama bapa saya Suleiman @ Palestin yang didaftarkan dalam kad pengenalannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)...mengapa Ab Rauf tolak rayuan saya untuk guna nama penuh dalam kertas calon," soal Raihan.

Sementara itu, calon Naib Ketua Wanita, Datuk Suraya Yaacob berkata beliau yakin perwakilah berani melakukan perubahan dan transformasi dalam pemilihan kali ini.

"Usia bukan faktor utama. Kebolehan dan kredibiliti adalah kriteria yang perlu dinilai oleh perwakilan untuk memilih pemimpin," kata Pengerusi

Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Kedah berumur 44 tahun itu. -BERNAMA

Artikel Lain