suria

Akhramsyah Mahu Kembalikan Pemuda Umno Kepada Perjuangan Asal

ALOR SETAR: Calon ketua Pemuda Umno Malaysia, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi mahu membawa pergerakan itu kembali ke landasan asal setelah mendakwa perjuangannya telah tersasar dalam tempoh lima tahun lepas.

"Saya memperjuangkan agenda Melayu berlandaskan Islam. Sejak lima tahun lepas pergerakan ini cuma banyak menjalankan aktiviti. Sebagai pewaris, Pemuda patut lantang menjadi pendesak. "Saya terbuka dengan cabaran perjuangan bagi mengembalikan Pemuda pada landasan asal," katanya semasa ditemui selepas majlis memperkenalkan calon Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri yang bertanding dalam pemilihan parti esok dan 19 Oktober ini di Seri Mentaloon di sini, Jumaat.

Selain Akhramsyah yang menentang penyandang, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tiga lagi calon ialah Penolong Setiausaha Pemuda Umno cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Ketua Pemuda Umno cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok Abd Karim Ali.

Akhramsyah yang juga Ketua Pemuda Umno cawangan bendang Baru, Langkawi berkata beliau tidak mahu melihat golongan muda tersisih di tanah air sendiri oleh sebab perjuangan tidak mantap dan longlai. Beliau memberi contoh Pemuda sangat lemah dalam memperjuang kalimah Allah yang dijadikan isu oleh penganut Kristian yang mahu ia digunakan dalam Bible versi Melayu. "Pemuda sepatutnya menjadi pendesak supaya hak agama Islam dan bangsa Melayu tidak diperkotak-katik oleh bangsa asing," katanya.

Mengenai peluangnya, Akhramsyah berkata walaupun penyandang memiliki kelebihan, beliau tetap yakin dengan usahanya setelah menemui ramai perwakilan Pemuda.

Beliau berharap tempoh memperkenalkan diri pada masa depan wajar dipanjangkan bagi memberi peluang yanglebih kepada calon muka-muka baharu.

Menurut Akhramsyah sesi pengenalan hari ini adalah yang pertama dihadirinya kerana Kedah menjadi tuan rumah kerana beliau lebih selesa bergerak sendiri. -BERNAMA

Artikel Lain