suria

69 Calon Sayap Bahagian di Pahang Menang Tanpa Bertanding

KUANTAN: Seramai 69 calon jawatankuasa peringkat sayap Umno bahagian di Pahang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pahang Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata keputusan itu melibatkan empat jawatan utama dalam sayap di 14 Umno bahagian seluruh Pahang.

"Pemilihan jawatan yang menang tanpa bertanding ialah Pengerusi Tetap seramai 21 calon, Timbalan Pengerusi Tetap 26 calon, Ketua-Ketua Sayap Bahagian 12 calon dan Naib Ketua Bahagian seramai 10 calon," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mengikut pecahan, pemilihan Wanita Umno bahagian di negeri itu menyaksikan enam calon Pengerusi Tetap menang tanpa bertanding, Timbalan Pengerusi Tetap (lapan calon), Ketua Wanita Bahagian (dua calon) dan Naib Ketua Wanita Bahagian (dua calon).

Pemilihan peringkat Pemuda bahagian pula menyaksikan Pengerusi Tetap Pemuda di empat daripada 14 Umno bahagian menang tanpa bertanding manakala Timbalan Pengerusi Tetap (lima calon) dan Ketua Pemuda Bahagian (dua calon).

Bagi pemilihan Puteri Umno pula katanya, seramai 11 calon untuk jawatan Pengerusi Tetap menang tanpa bertanding.

Beliau berkata bagi Timbalan Pengerusi Tetap Puteri Umno, hanya satu daripada 14 Bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu bahagian Jerantut manakala lapan calon Ketua Puteri Bahagian dan lapan calon Naib Ketua Puteri Bahagian menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Abdul Jabbar berkata semua keputusan rasmi pemilihan sayap di 14 Bahagian Umno seluruh Pahang hanya akan diperoleh malam ini. -BERNAMA

Artikel Lain