suria

Tiada Keperluan Polis Lepaksan Tembakan Amaran - Zahid

PETALING JAYA: Tiada keperluan bagi pihak polis melepaskan tembakan amaran kepada suspek ahli kumpulan kongsi gelap, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

"Jika mereka berbuat demikian (melepaskan tembakan amaran) kumpulan kongsi gelap akan lari jika mereka tidak bersenjata dan jika mereka memiliki senjata, anggota polis akan mati ditembak," kata Ahmad Zahid dalam satu temubual bersama portal berita online, IMRTV.

Beliau berkata risikan penting dalam mengenal pasti sasaran sebelum polis bertindak.

"Sasaran dikenalpasti selepas maklumat diperolehi sama ada mereka ini mempunyai senjata dan mereka ini samseng. Seperti yang saya kata samseng mesti dibanteras dan terpulang kepada Ketua Polis Negara, ketua polis negeri dan Jabatan Siasatan Jenayah untuk menentukan kaedah terbaik bagaimana mereka hendak mengatasinya," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan daripada beberapa pihak termasuk, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai kenyataannya bahawa polis harus menembak suspek disyaki yang dibuatnya dalam seminar keselamatan di Melaka.

Chua dalam kenyataan balas berkata Ahmad Zahid ibarat 'melampaui batas' dan mungkin berada dalam 'keseronokannya' tersendiri.

Mengulas mengenai kritikan tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di laman Twitternya pada Jumaat mempertahankan Ahmad Zahid dan pasukan polis, dengan menyatakan anggota polis bukan 'koboi'.

"Kita bukan sesuka hati ambil nyawa orang. Kita hanya tembak untuk mempertahankan nyawa kita sendiri. Untuk pastikan semua orang selamat. Dalam kes tembak-menembak apa pilihan yang ada pada kita?

"Berhadapan dengan risiko terbunuh, kita juga perlu mengambi risiko. Hanya untuk memastikan anda selamat," kata Khalid dalam dua tweetnya yang turut memuji keberanian anggota polis mempertaruhkan nyawa mereka untuk menjaga ketenteraman aman termasuk mereka yang mengkirit polis.

Sementara itu, bekas Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan meminta Khalid mendedahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) penggunaan senjata api.

"Apapun ju, anda perlu menggunakan sebab yang munasabah ketika menahan seseorang. Jika mereka tidak membahayakan nyawa anda tidak perlu anda menggunakan senjata. Yang lebih penting, sebagai pegawai polis anda telah dilatih dan tahu bila seharusnya anda menggunakan senjata," kata Ragunath.

Mengambil contoh kematian kanak-kanak Aminulrasyid Hamzah, 14, yang menunjukkan apa yang pihak polis boleh dan tidak boleh lakukan dalam menggunakan senjata api.

Ragunath berkata anggota polis hanya boleh menggunakan senjata api sekiranya nyawa mereka benar-benar terancam.

Dalam kes Aminulrasyid, seorang anggota polis didakwa di bawah Seksywn 304 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menyebabkan kematian kanak-kanak berkenaan pada pukul 1.10 hingga 2 pagi pada 26 April 2010 di Jalan 11/2, Seksyen 11, Shah Alam.

"Apabila anda mendekati seseorang untuk menahannya, anda tidak boleh mengeluarkan pistol dan terus menembak mereka. Ini kerana anda ada lesen untuk membawa senjata dan kuasa untuk menahan, anda perlu berhati-hati dan tahu bagaimana untuk menjalankan kuasa yang berada di tangan anda," kata Ragunath.

Artikel Lain