suria

Sistem Pemilihan Baru Umno Berjaya, Namun Ada Yang Perlu Diperbaiki

ALOR SETAR: Umno telah melakukan banyak perubahan dalam pemilihan parti kali ini supaya lebih ramai dapat bertanding dan memilih pemimpin, namun kajian semula peraturan berkempen perlu dilakukan supaya proses pemilihan parti berjalan lebih baik.

Calon Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin berkata ini merupakan kali pertama cara pemilihan baharu dijalankan melibatkan lebih ramai perwakilan, jadi banyak masalah dibangkitkan.

Katanya beliau yakin Umno boleh membuat perubahan itu kerana sewaktu mula-mula berkempen banyak kekangan dihadapi oleh calon, tetapi dari semasa ke semasa, Umno pusat memberi kelonggaran dalam beberapa perkara.

"Harap kaji semua tentang cara pemilihan. Banyak perkara perlu dilihat semula," katanya kepada Bernama selepas majlis memperkenalkan calon tiga sayap parti peringkat pusat dan Majlis Tertinggi di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon di sini, Jumaat.

Mas Ermieyati berkata beliau dan seorang lagi calon Jamilah Hanim Othman mempunyai peluang yang sama untuk menang dan berharap perwakilan dapat menilai prestasinya sebagai pemimpin.

Sementara itu calon Naib Ketua Puteri, Nor Sabrina Mohd Noor berkata perwakilan sayap itu perlu bijak dan tidak tersilap memilih calon untuk melaksanakan tugas dengan baik.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Negeri Kedah berkata mereka perlu menentukan barisan kepimpinan Puteri yang kuat, mantap dan dapat membantu Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya pasti dengan barisan kepimpinan yang terbaik, Puteri dapat menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan...Pilih calon dengan baik dan jangan buat pilihan mengikut emosi dan arahan dari pihak tertentu," katanya.

Bagi jawatan Naib Ketua Puteri, Nor Sabrina ditentang Zahida Zarik Khan dan Nazliah Ali. -BERNAMA

Artikel Lain