suria

Serbu Kilang Gas LPG, KPDNKK Rampas Barangan Bernilai RM600,000

PONTIAN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor menyerbu sebuah kilang di Pekan Nanas di sini, yang dipercayai menjadi lokasi pemindahan haram gas cecair petroleum (LPG) sejak tiga bulan lepas.

Dalam serbuan awal pagi Jumaat itu, PPDNKK merampas tangki berisi LPG, tangki kosong serta tiga buah lori termasuk dua lori tangki dengan nilai keseluruhan RM600,000.

Dalam serbuan 12.30 pagi itu, kami juga memberkas dua pemandu lori berusia 40 dan 30-an, manakala beberapa lagi individu yang ada di kilang terbabit berjaya meloloskan diri, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNKK Johor Rosle A. Hamid kepada pemberita, di sini.

Menurut Rosle, pemeriksaan ke atas premis mendapati kilang itu terdedah kepada bahaya letupan kerana sistem paip yang diguna untuk memindahkan gas tidak diiktiraf.

Mereka ini beli LPG untuk kegunaan domestik sebelum dipindahkan ke dalam tong bagi industri, katanya menambah pihaknya percaya serbuan itu adalah yang terbesar membabitkan penyelewengan LPG bersubsidi.

Menurutnya PPDNKK Johor kini mengesan pemilik premis yang dipercayai menyewakan kilang terbabit kepada sindiket berkenaan.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan salah yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun. -BERNAMA

Artikel Lain