suria

PLUS Gesa Pengguna Patuhi TTA Sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR: Plus Malaysia Berhad (PLUS) menggesa pengguna Lebuhraya Utara-Selatan agar merancang perjalanan cuti Aidiladha berdasarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), yang terbukti menyumbang kepada kelancaran aliran trafik, pada masa lalu.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi berkata TTA penting dalam membantu orang ramai merancang perjalanan mereka dengan PLUS menjangkakan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan meningkat 21 peratus kepada 1.5 juta kenderaan setiap hari selama tempoh Aidiladha berbanding 1.2 juta kenderaan, pada hari biasa.

"Kami menjangka mereka dari Lembah Klang akan mula pulang ke kampung mulai hari ini sehingga 14 Oktober dan berdasarkan TTA, kami menasihatkan pengguna yang menuju ke Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Johor untuk memasuki Lebuh raya antara pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

"Sementara, pengguna yang menuju ke arah destinasi lain seperti Taiping, Kuala Kangsar, Jasin dan Melaka boleh memasuki lebuh raya antara pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari," katanya dalam kenyataan di sini.

TTA ialah jadual perjalanan berperingkat bagi destinasi tertentu di lebuh raya kendalian PLUS yang dikeluarkan sebagai satu daripada strategi untuk mengelakkan orang ramai terperangkap dalam kesesakan laluan utama plaza tol, kawasan rehat dan hentian, ketika waktu puncak.

Menurut kenyataan itu, bagi pengguna yang menuju ke destinasi yang lebih dekat dengan Lembah Klang adalah dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas waktu tersebut.

PLUS juga akan mengeluarkan TTA bagi pengguna yang pulang ke Lembah Klang selepas Aidiladha antara 15 Okt dan 20 Oktober. "Kami menasihati orang ramai agar tidak hanya mengikuti TTA semasa pulang ke kampung, tetapi juga semasa kembali ke Lembah Klang," kata Mohammad Fuad.

Pada sambutan Aidiladha tahun lalu, lebih 50 peratus daripada pengguna lebuh raya mengikuti TTA sekali gus menyumbang kepada mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan, katanya.

"Kami berharap, orang ramai terus memberi kerjasama untuk mengikuti TTA untuk mereka kembali ke Lembah Klang," tambahnya. -BERNAMA

Artikel Lain