suria

Pesawat Twin Otter MasWings Akan Segera Dialihkan

KUALA LUMPUR: Pesawat MASwings Twin Otter DHC6 9M-MDM MH3002 yang terhempas di kawasan Lapangan Terbang Kudat semalam, akan dialihkan dari tapak kemalangan sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Malaysia Airlines (MAS) dalam kenyataan di sini hari ini berkata pasukan Go Teamnya yang terdiri daripada pengasuh dan petugas sokongan dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, bekerja sepanjang masa bagi memastikan proses peralihan di tempat kejadian dan hospital berjalan lancar.

Operasi penerbangan Malaysia Airlines, MASwings dan subsidiarinya berjalan mengikut jadual.

"Kami akan menasihati orang ramai mengenai sebarang perubahan dalam jadual penerbangan. Berkuat kuasa serta-merta, semua pertanyaan berkenaan kemalangan ini akan dihalakan ke talian bebas tol Malaysia Airlines di 1-300-88-3000," menurutnya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia Airlines amat bersimpati dengan kejadian berkenaan dan komited untuk memberi bantuan kepada semua pihak terlibat dalam apa cara sekalipun. -BERNAMA

Artikel Lain