suria

Persoal Pimpinan DAP Pusat: Dr Boo Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan

JOHOR BARU: Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan apabila beliau mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)parti mengambilalih kepimpinan jawantakuasa DAP Kedah.

Beliau berkata keputusannya untuk mendedahkan perkara tersebut bukanlah untuk meraih populariti namun dia ingin menyatakan pendiriannya yang dengan jelas menentang keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan dalam isu berkenaan.

"Sebagai seorang doktor perubatan, saya selalu beritahu pesakit mengenai penyakit yang mereka hidapi. Saya sayangkan parti sebab itu saya cakap mengenai isu ini.

"Saya tidak fikir hanya kerana saya berani bercakap mengenai isu ini saya akan dikenakan tindakan. Sebaliknya saya sedia menghadapi apa jua kemungkinan. Saya bercakap tulus dari hati," kata Dr Boo pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Beliau menegaskan adalah penting bagi parti untuk menetapkan garis panduan yang jelas bagaimana CEC boleh mengambilalih kepimpinan parti di peringkat negeri dan membolehkan kuasa autonomi kepada negeri.

"Saya telah menulis kepada Pengerusi parti, Karpal Singh berhubung isu ini, termasuk beberapa perkara lain termasuk Malaysian Dream Movement, yang telah diumumkan tanpa sebarang perbincangan dan kelulusan daripada CEC," katanya.

Dr Boo berkata bagi memastikan kelangsungan politik DAP, pemimpin-pemimpinnya perlu mengkaji cara untuk memperbaiki kebajikan rakyat berbanding terlibat dengan pertelingkahan dalaman dan perebutan kuasa sepertimana yang sedang berlaku di Kedah dan kini di Melaka.

Mengenai kenyataan Setiausaha Organasasi DAP, Anthony Loke terhadap Dr Boo, bahawa sebagai ahli CEC beliau tidak membantah cadangan untuk mengambilalih kepimpinan DAP Kedah sepertimana yang dibincangkan Mei lalu.

Beliau mengakui dia tidak membantah keputusan tersebut kerana ketidakpastian yang wujud ekoran tindakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mahukan pemilihan CEC diadakan semula.

"Saya juga tidak mahu dilihat sebagai budak jahat setiap masa kerana ada 20 lagi ahli CEC yang sepatutnya mempunyai kebijaksanaan tanpa perlu saya memberi pandangan yang bertentangan," katanya.

Pada Isnin, Dr Boo berkata beliau sangat terganggu dengan tindakan CEC bersetuju mengambilalih kepimpinan DAP Kedah ynag sebelum ini dipilih secara demokratik.

Beliau menambah adalah tidak tepat untuk CEC mengambilalih jawatankuasa negeri tanpa menjalankan siasatan bebas hanya kerana mereka diberitahu wujudnya pertelingkahan antara kumpulan-kumpulan tersebut dalam DAP Kedah yang mewajarkan tindakan pengambilalihan.

Dr Boo meminta CEC menilai semula keputusan mengambilalih kepimpinan jawantakuasa DAP Kedah walaupun tiga ahli panel telah dilantik untuk menyiasat dan mencari punca masalah berpuak-puak yang menyebabkan campurtangan pucuk pimpinan.

Artikel Lain