suria

KJ & Shahrizat Hampir Pasti Menang Tapi Sejauh Manakah Undi Yang Bakal Diperolehi Lawan Mereka

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA: Hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu apabila lebih 200,000 perwakilan yang mewakili tiga sayap Umno iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di seluruh negara (kecuali Sarawak) mengundi untuk memilih pemimpin mereka untuk penggal baru.

Inilah buat pertama kali dalam sejarah parti itu, keputusan untuk memilih pucuk pimpinan parti tidak lagi ditentukan oleh hanya sekadar kurang dari seribu perwakilan ke Persidangan Agung Tahunan di Kuala Lumpur.

Sebaliknya kuasa itu diserahkan kepada jumlah yang lebih besar di peringkat cawangan dan bahagian dari seluruh negara.

Barisan kepimpinan baru yang akan dipilih nanti ini akan memegang kuasa di peringkat bahagian dan juga nasional selama tiga tahun.

Mata sudah pastinya akan terus tertumpu kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil - kedua-duanya adalah penyandang jawatan Pemuda dan Wanita Umno.

Walaupun kedua-duanya tidak mempunyai pencabar yang benar-benar kuat dan hebat atau memiliki nama besar dalam parti, tetapi bukan itu yang ingin dilihat oleh ramai orang di seluruh negara, sebaliknya berapakah undi yang bakal mereka perolehi.

Sudah tentulah Khairy dan Shahrizat mengharapkan mandat yang besar dan kukuh kerana itu bakal menentukan masa depan mereka dalam parti.

Kepada Shahrizat khususnya, jika beliau berjaya mengharungi ujian getir terakhir ini, ramai yang berpendapat, tiada apa lagi yang boleh menghalang kemunculan semula karier politiknya sama ada dalam Umno dan juga kerajaan.

Untuk sekian lamanya beliau dihantui oleh permasalahan yang bukan berpunca dari diri atau karier politiknya sendiri tetapi oleh orang di sekelilingnya.

Tetapi andainya beliau berjaya mempertahankan kedudukannya dalam Pergerakan Wanita Umno kali ini, masa depan politiknya akan kembali cerah kerana beliau telah membuktikan yang perwakilan percaya apa yang telah berlaku selama ini bukanlah kerana salahnya atau perbuatannya. Maka itu beliau tidak harus dihukum.

Kedua-dua pencabar Shahrizat iaitu ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah, Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman bukanlah pemimpin di peringkat nasional yang benar-benar mampu mengugat kedudukannya.

Mereka tidak mungkin menang tetapi berkemungkinan besar mencuri perhatian ramai menerusi ‘undi protes’ yang bakal mereka perolehi nanti.

Dalam mana-mana proses demokrasi pun, tidak mungkin seseorang itu memperolehi undi seratus peratus tetapi yang tidak ingin dilihat oleh Shahrizat ialah sejumlah undi yang besar diberikan kepada lawan-lawannya walaupun tidak memadai untuk menewaskannya.

Namun daripada sejak awal lagi, semua dapat melihat dengan jelas yang Shahrizat menikmati sokongan yang boleh dikatakan sangat padu dan kukuh daripada seluruh Pergerakan Wanita Negeri dan juga bahagian.

Dalam hal Khairy pula, daripada empat orang pencabarnya, hanya Akhramsyah Sanusi sahaja yang dilihat memberi cabaran yang sedikit hangat. Itu pun beliau tidak mempunyai rangkaian di dalam Pemuda melainkan beliau adalah anak kepada bekas setiausaha agung parti dan ketua pemuda cawangan.

Yang lain-lainnya seperti Syed Rosli Syed Harman, Irwan Ambak dan Karim Ali langsung tidak dikenali ramai.

Logiknya, tidak ada sebab mengapa para perwakilan mahu mengundi dan memilih mereka berbanding Khairy yang sudah memiliki kedudukan yang kukuh dalam parti dan juga kerajaan. Beliau juga menang pilihan raya umum yang lalu dengan majoriti yang besar dan bertambah.

Tetapi sekali lagi, yang ingin diperhatikan ialah sejauh manakah undi protes yang akan dilontar oleh perwakilan yang enggan bernaung di bawah kepimpinan Khairy kepada lawan-lawannya itu.

Adalah menarik untuk melihat sejauh manakah para penyokong tegar Datuk Paduka Mukhriz Tun Mahathir yang pernah menentang Khairy untuk jawatan ketua pemuda pada tahun 2009 dulu mengundi kali ini.

Ini kerana secara semulajadinya, Khairy adalah pesaing terdekat kepada Mukhriz dalam kancah politik Umno. Khairy selaku kedudukannya sebagai ketua pemuda adalah juga bertaraf naib presiden. Mukhriz baru mahu bersaing untuk menduduki kerusi naib.

Beliau perlu menang kerusi ini jika mahu terus berada sebaris dengan Khairy dalam hirarki kepimpinan parti.

Kemenangan Khairy adalah hampir pasti tetapi sejauh manakah bukan penyokong Khairy mahu membuang undi kepada pencabarnya adalah sesuatu yang sangat menarik untuk dilihat.

Mahu tidak mahu kedua-dua Khairy dan Mukhriz perlu bersaing untuk menaiki hirarki parti atau pun bersatu untuk memastikan kelangsungan survival masing-masing.

Bagi Pergerakan Puteri pula, persaingan adalah terbuka luas untuk dua orang pesaing iaitu Jamilah Hanim Othman dan Mas Ermieyati Samsudin.

Ini kerana penyandang jawatan tidak mempertahankan kerusinya kali ini.

Oleh yang demikian, anggota Pergerakan Puteri Umno mempunyai kebebasan yang lebih luas untuk membuat perhitungan tanpa sebarang ikatan atau nostalgia kepada sesiapa.

Keseluruhannya 191 bahagian akan mengundi hari ini. Di bawah sistem pemilihan baru ini, setiap bahagian akan membawa satu undi kepada calon.

Artikel Lain