suria

Imigresen Johor Tahan 15 Wanita Warga China Dalam Dua Serbuan

JOHOR BAHARU: Jabatan Imigresen Johor menahan 15 wanita warga China dalam dua serbuan berasingan di pusat terapi dan refleksologi di sini, Khamis.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresennya, Kharulanuar Abu Bakar berkata lima wanita ditahan dalam serbuan pertama di Jalan Keris Taman Seri Tebrau pada 11.06 malam.

"Kesemua mereka berusia antara 26 dan 38 tahun ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas dan ada di antara mereka tidak memiliki pas yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Dalam serbuan kedua di Nusa Bestari, 10 lagi wanita warga China yang berusia antara 23 dan 43 tahun ditahan atas kesalahan sama, katanya.

"Pelbagai helah dan cubaan dilakukan mereka ini untuk mengelakkan diri daripada ditangkap, ada yang cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam bilik air serta ada yang bersembunyi di sebalik kain tabir bilik," katanya.

Katanya, kesemua mereka dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial selain tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -BERNAMA

Artikel Lain