suria

Chua Soi Lek Hanya Akan Putuskan Masa Depan Politiknya Selepas Liow Sahut Saranannya

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hanya akan mengumumkan keputusan mengenai masa depan politiknya sebaik sahaja Timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai membuat keputusan muktamad mengenai saranannya agar mereka berdua bersama-sama melepaskan jawatan tertinggi dalam parti itu.

“Tanya saya hanya selepas beliau (Liow)menolak cadangan saya itu,” ujar Dr Chua.

Menurut presiden MCA itu lagi, cadangannya agar mereka bersama-sama melepaskan jawatan dalam parti kepada generasi baru bukanlah suatu keputusan yang dibincang bersama Liow.

Beliau turut menegaskan yang keputusan untuk memanggil Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) pada 20 Oktober ini bukanlah sesuatu yang bersifat peribadi terhadap Liow.

“Ini bukanlan satu tindakan untuk membalas dendam terhadap Liow atau mahu meletakkan segala kesalahan ke atas bahunya kerana saya sendiri telah membuat pengakuan bahawa saya selaku presiden adalah bertanggungjawab ke atas parti dan juga saya telah menyatakan yang saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Sebaliknya, EGM itu bertujuan untuk melihat sejauh mana Liow selaku pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya Umum MCA menjalankan tugasnya dan melaksanakan strategi yang efektif untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagaimanapun kata Dr Chua, Liow hanya melawat tidak sampai 10 daripada 127 kawasan pilihan raya yang ditandingi oleh calon-calon MCA.

“Apa yang kami hendak tunjukkan kepada para pemimpin kanan parti, seandainya mereka diberikan amanah dan tanggungjawab tertentu untuk dilaksanakan, kami menjangkakan yang mereka akan melaksanakan tanggungjawab itu sepenuhnya,” tegas Dr Chua lagi.

Dalam pada itu, Dr Chua juga menolak spekulasi kononnya EGM yang bakal diadakan itu adalah untuk membuka laluan kepadanya untuk terus kekal sebagai presiden parti.

Sehubungan dengan itu, Dr Chua menggesa semua perwakilan agar hadir pada EGM itu untuk menentukan apa yang perlu untuk masa depan parti.

Ini termasuklah resolusi untuk membatalkan keputusan parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sebagaimana yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung yang lalu.

Tanpa resolusi ini diluluskan, MCA tidak dapat menamakan wakil mereka di dalam pentadbiran kerajaan di semua peringkat.

Artikel Lain