suria

Bekas Kerani Akaun Didakwa Pecah Amanah 10 Keping Cek Bernilai RM39, 550

SHAH ALAM: Seorang bekas kerani akaun sebuah syarikat berasaskan pertanian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan 10 keping cek milik bekas majikannya bernilai RM39,550 pada tahun lepas.

Lim Choon Wah, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim G.Ramesh.

Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai kerani akaun yang diamanahkan buku cek syarikat Fertile (M) Sdn Bhd, didakwa melakukan pecah amanah dengan memalsukan tandatangan pada 10 keping cek bernilai RM39,550 serta memasukkan wang itu ke dalam akaun miliknya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan di premis syarikat di Persiaran Pedagang, Taman Bayu Perdana, Klang dekat sini antara Januari dan Disember 2012.

Kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu memperuntuk hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Hushnita Mohd Radzi yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang ikat jamin ke atas Lim atas alasan tuduhan yang dihadapinya serius dan tidak boleh diikat jamin.

Bagaimanapun, beliau berkata jika mahkamah cenderung membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya memohon satu jumlah jaminan yang tinggi.

Lim yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin atas alasan dia menghidap banyak penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol yang tinggi.

Wanita itu juga berkata dia kini tidak bekerja dan perlu menanggung tiga anak setelah kematian suami 15 tahun lepas.

Ramesh kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Lain