suria

Bantah TPPA: NGO Berarak Ke KLCC

Dr Michael Jeyakumar menyampaikan ucapan kepada peserta yang menyertai demonstrasi bantah TPPA di KLCC pada Jumaat.
Dr Michael Jeyakumar menyampaikan ucapan kepada peserta yang menyertai demonstrasi bantah TPPA di KLCC pada Jumaat.
Dr Michael Jeyakumar menyampaikan ucapan kepada peserta yang menyertai demonstrasi bantah TPPA di KLCC pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berarak dari Masjid As'Syakirin di sini selepas solat Jumaat menuju ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bagi mendesak kerajaan agar tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Demonstrasi berkenaan tetap berlangsung walaupun hujan lebat turun.

Ia juga diadakan bagi membantah lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry yang tiba di negara ini bagi mendesak kerajaan Malaysia menandatangani perjanian berkenaan.

Kumpulan berkenaan diketuai oleh Penyelaras Bantah TPPA, Anas Alam dan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar turut mengambil bahagian dalam demo berkenaan.

"Kami di sini kerana kami marah dengan terma-terma yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut.

"Ia hanya memberi keuntungan kepada syarikat multinasional di negara ini. Rakyat akan menderita jika kerajaan menandatangani TPPA," kata Dr Jeyakumar.

Bagaimanapun, demonstrasi berkenaan terpaksa dihentikan apabila pegawal keselamatan daripada KLCC meminta kumpulan berkenaan bersurai daripada tempat tersebut.

Walaupun Malaysia masih belum menandatangani perjanjian TPPA, beberapa NGO mendakwa kerajaan telah berunding dengan Amerika Syarikat sebanyak 19 kali namun semua itu tidak dapat dipastikan hingga kini.

TPPA, satu perjanjian perdagangan bebas yang sedang dirundingkan oleh 13 negara termasuk Malaysia, merupakan perjanjian yang bertujuan menangani isu-isu dagangan baharu Alaf ke-21.

12 Ahli TPP yang lain ialah Australia, Brunei, Canada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Artikel Lain