suria

Tiga Lelaki Ditembak Mati Selepas Samun Wanita

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati tiga lelaki berhampiran Plaza Tol Sentul Pasar di sini hari ini, lebih tiga jam selepas mereka menyamun seorang wanita di luar sebuah bank di Bayu Perdana, Klang.

Ketiga-tiga mereka yang menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam diekori sepasukan anggota Jenayah Berat (D9) Selangor sejak pukul 11.30 pagi selepas mereka melarikan wang tunai lebih RM2,000 daripada wanita itu.

Kereta itu dan sebuah lagi kereta Proton Wira hitam dilapor menghimpit di hadapan dan belakang serta menghalang laluan kereta seorang wanita yang baru keluar dari bank sebelum sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki menghampiri dan memecahkan cermin kereta wanita itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata kumpulan lelaki terbabit kemudian melarikan diri menghala ke Gombak.

"Setibanya berhampiran Plaza Tol Sentul Pasar, polis cuba menahan kereta itu tetapi seorang daripada lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah polis dan polis membalas tembakan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdul Rahim berkata sebuah lagi kereta yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian samun wanita itu, ditemui ditinggalkan di tepi lebuh raya berhampiran lokasi kejadian tembak itu.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kedua-dua kenderaan itu didaftarkan atas nama rakyat Indonesia.

Tanpa mendedahkan identiti ketiga-tiga lelaki yang ditembak mati itu, Abdul Rahim berkata polis percaya kumpulan terbabit turut mempunyai kaitan dengan kejadian samun di Subang Jaya pada Isnin lepas melibatkan wang RM35,000 yang dikeluarkan untuk majlis korban.

"Kami percaya mereka adalah penjenayah yang sering melakukan jenayah samun di luar bank di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Polis kini melancarkan gerakan memburu sebuah motosikal yang terbabit dalam kejadian samun itu serta sebuah lagi Proton Wira juga berwarna hitam yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan terbabit diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain