suria

Shabery Akan Jawab Isu K-Pop Kepada PAC

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan membuat penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu bayaran RM1.6 juta untuk persembahan artis K-Pop dalam acara Hari Belia Negara 2012.

Beliau ketika itu adalah Menteri Belia dan Sukan.

Ahmad Shabery berkata beliau telah menghubungi Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya PAC memanggilnya memberi keterangan berhubung isu itu.

"Saya akan menjelaskan perkara ini kepada PAC. Saya telah menghubungi Pengerusi PAC untuk memanggil saya," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama TV pada Rabu.

Selain PAC, Ahmad Shabery berkata beliau telah memohon kepada pihak Parlimen untuk membenarkan prosiding penjelasannya kepada PAC dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di stesen televisyen.

Beliau mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Menteri Belia dan Sukan itu berhubung perbelanjaan untuk sambutan berkenaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, kementerian itu membelanjakan RM2.94 juta untuk Hari Belia Negara 2012, termasuk RM1.6 juta untuk bayaran artis K-Pop dari Korea sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Artikel Lain