suria

Sembilan Calon Ketua Bahagian Di Perak Menang Tanpa Bertanding

IPOH: Sembilan calon ketua Umno bahagian di Perak menang tanpa bertanding untuk jawatan itu, demikian mengikut senarai yang dikeluarkan Umno negeri hari ini.

Kemenangan itu berikutan tiada pencalonan lain atau calon gagal melepasi saringan layak bertanding yang dijalankan di peringkat pusat.

Mereka ialah Ketua Umno Bahagian Padang Rengas yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz apabila dua pencabarnya masing-masing menarik diri dan tidak layak menjadi calon.

Tiga lagi calon yang kekal sebagai ketua bahagian masing-masing apabila tiada pencalonan lain diterima ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Tambun), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga calon Naib Presiden Umno (Bagan Datoh) dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri (Lumut).

Bahagian Lenggong, Ipoh Barat dan Parit masing-masing menyaksikan Datuk Saarani Mohamad, Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar dan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan mengekalkan jawatan ketua bahagian selepas tiada pencalonan lain diterima.

Dua lagi ketua Umno bahagian yang menang tanpa bertanding ialah Datuk Sham Mat Sahat (Bagan Serai) Mohd Azhar Jamaluddin (Teluk Intan).

Sementara itu, lapan bahagian di negeri ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu untuk jawatan ketua Umno bahagian iaitu Gerik, Parit Buntar, Taiping, Sungai Siput, Ipoh Timur, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Beruas dan Tapah.

Mengikut senarai yang dikeluarkan itu, tiga bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu Larut, Kampar dan Pasir Salak manakala bahagian Bukit Gantang, Gopeng dan Tanjung Malim menyasikan pertandingan empat penjuru.

Hamizura Osman yang merupakan satu-satunya wanita di Perak yang menawarkan diri sebagai calon ketua bahagian akan mencabar penyandang jawatan itu di Gopeng iaitu Datuk Hamzah Mohd Kasim, bersama-sama dua calon lain Mej (B) Roslan Zakaria dan Saidel Khazri Malik. BERNAMA

Artikel Lain