suria

Sanjeevan Kecam Polis Selepas Disoal Siasat Atas Dakwaan Lakukan Peras Ugut

PETALING JAYA: Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan mengecam pihak polis selepas beliau disoal siasat berhubung tweet dan tiga dakwaan melakukan peras ugut melibatkan dirinya.

"Kenapa mereka tidak tanya saya mengenai insiden tembakan yang berlaku? Mereka tidak benar-benar serius dalam mencari dalang sebenar dan mengapa mereka menembak saya!," katanya pada sidanf media di sini pada Khamis.

Penguamnya, Latheefa Koya berkata anak guamnya disoalsiasat di balai polis Trpoicana berhubung empat laporan polis yang dibuat terhadapnya.

"Laporan pertama berhubung tweet beliau pada 30 September lalu di mana dia menyatakan peluru .38 Smith & Wesson yang dikeluarkan daripada tulang rusuknya sering digunakan oleh pihak polis.

"Mereka bertanya kepada dia sama ada dia tahu tweetnya itu telah mencemarkan imej bersih pihak polis," katanya.

Tiga lagi laporan yang tidak lengkap, Latheefa mendakwa ia berhubung kes peras ugut terhadap mangsa yang mendakwa mereka didatangi 'dua orang lelaki India' yang meminta wang perlindungan daripada mereka.

Laporan pertama dibuat pada 17 Ogos oleh seorang pemilik kedai di Triang, Pahang.

Laporan berikutnya dibuat oleh ahli perniagaan dari Bahau pada 26 September.

"Bagaimanapun, pihak polis tidak menunjukkan laporan tersebut dan memberi sebarang maklumat mengapa salah seorang suspek lelaki India itu merupakan Sanjeevan," kata Latheefa sambil menambah ada maklumat yang meragukan dalam laporan tersebut kerana ia tidak menyatakan tarikh dan di mana kejadian jenayah tersebut berlaku.

Menyifatkan soal siasat ke atasnya sebagai satu bentuk gangguan, Sanjeevan menggesa pihak polis memfokuskan kepada usaha menangkap penjenayah yang cuba membunuhnya yang sepatutnya didahulukan.

"Saya sangat sangsi mengapa mereka menyoal siasat saya dengan isu sebegini berbanding kes tembakan yang berlaku ke atas saya.

"Sudah hampir dua bulan dan tidak ada sebarang perkembangan mengenai kes tembakan yang berlaku ke atas saya. Saya percaya mesti ada sebab disebalik apa yang berlaku.

"Keluarga saya telah melalui pengalaman yang cukup mengerikan dan saya menggesa mereka tidak menggangu mereka lagi. Beri keadilan kepada saya," kata Sanjeevan kepada pemberita di ibu pejabat PKR.

Sanjeevan ditembak di bahagian tulang rusuk oleh seorang penunggang motosikal di Bahau pada 27 Julai lalu.

Insiden yang berlaku itu dikatakan mempunyai kaitan dengan polis Negeri Sembilan.

Beberapa jam sebelum kejadian itu, Sanjeevan menghantar tweet berbunyi, 'Seorang anggota @PDRM Malaysia memberitahu dia akan mengarahkan beberapa ahli sindiket akan melepaskan beberapa tembakan amaran di rumah saya untuk menakutkan saya dan keluarga!"

Beliau kemudiannya koma dan hanya dibedah selepas 18 hari ditembak akibat jangkitan kuman.

Sanjeevan mengalami amnesia sebaik sahaja dia sedar daripada koma.

Pada 19 September, Sanjeevan memberitahu The Star dia telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MyWatch, dengan berkata usaha beliau dalam kumpulan tersebut tidak berbaloi sekiranya jika dibandingkan dengan keselamatan diri dan keluarganya menjadi cagaran.

Namun beliau tetap akan kekal sebagai Exco PKR Negeri Sembilan.

Artikel Lain